‘Tropical Brutalism’ tarikan Musalla Al-Abrar Sg Penchala

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengunjung yang melalui Jalan Sungai Penchala di Segambut di sini, pasti tidak akan melepaskan peluang memerhati sebuah bangunan konkrit berwarna putih kelabu yang dipenuhi dengan landskap tumbuhan hijau.

- Advertisement -

Sepintas lalu, pemandangan bangunan itu tidak ubah seperti sebuah bangunan pejabat, namun apabila menjengah ke dalam kawasan berkenaan, ia sebenarnya sebuah surau dinamakan Musalla Al Abrar dengan struktur binaannya berbentuk kiub dan keseluruhan dinding menggunakan batu blok angin.

Hafiz Ismail, 48, arkitek dipertanggungjawabkan membuat pelan surau itu berkata Musalla Al Abrar diinspirasikan daripada struktur bangunan suci, Kaabah yang terletak di Masjidil Haram di Makkah.

“Saya mengambil ilham daripada struktur Kaabah berbentuk kiub, bagaimana struktur sederhana Kaabah itu, jutaan umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun pergi. Jadi mengapa tidak kita fikir (pelan) bentuk Kaabah yang kiub sahaja yang boleh menarik ramai orang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Musalla Al Abrar yang menelan kos RM3 juta itu mempunyai dua aras ruang solat yang boleh memuatkan sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan turut menempatkan ruang pejabat, tempat wuduk, tandas dan dapur.

Surau bertaraf masjid tersebut di bawah pentadbiran Yayasan Tawfiq siap dibina pada 2016 dan sehingga kini ia menjadi tumpuan umat Islam bukan sahaja dari kawasan berdekatan malah juga dari luar Lembah Klang untuk mengikuti majlis ilmu yang diadakan di kawasan berkenaan.

Bercerita lanjut, lulusan ijazah seni bina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata dari segi disiplin seni bina, ‘tropical brutalism’ diterapkan pada reka bentuk bangunan surau berkenaan yang mempunyai kelebihan dan setiap daripadanya mempunyai fungsi tertentu.

Menurutnya, perkataan ‘brutalism’ itu merujuk kepada penggunaan material dinding dan tiang surau yang 100 peratus berasaskan binaan konkrit yang dilepa simen tanpa semburan cat dan hanya bahagian lantai dicat.

Sementara perkataan ‘tropical’ pula diterapkan melalui aspek landskap tumbuhan yang banyak meliputi sebahagian surau itu bagi mewujudkan persekitaran hijau yang mendamaikan, katanya.

Hafiz berkata penggunaan batu blok angin pada keseluruhan dinding surau tersebut pula bertujuan mewujudkan lubang pengudaraan semula jadi sekali gus jemaah yang berada di dalamnya lebih selesa dan tenang walaupun dalam jumlah ramai.

“Perkakasan digunakan di ruang tandas, wuduk juga tidak mahal dan mudah didapati namun didekorasi sebaiknya supaya ia membentuk nilai estetika dan nampak lebih menarik,” katanya.

Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan Tawfiq, Syed Hussin Syed Shaikh Al Junid berkata reka bentuk surau itu menerapkan elemen minimalis yang sesuai dengan kontemporari semasa sebagai daya tarikan khususnya kepada golongan muda di bandar bagi mengimarahkan aktiviti keagamaan.

“Binaan surau ini berbeza dengan binaan surau atau masjid lain, walaupun ia kecil, nampak ekstrem dan kolot dengan binaan batu angin tetapi apabila kita berada di dalam jauh selesa dan hati akan lapang dengan pemandangan landskap di sekeliling,” katanya.

Syed Hussin berkata mengikut perancangan pada masa akan datang, kemudahan lain seperti dewan, sekolah agama dan kafe turut akan dibina bersebelahan dengan surau berkenaan yang menjadikan keseluruhan kawasan itu sebagai pusat dakwah. – BERNAMA

- Advertisement -