OIC gesa tekanan PBB terhadap Israel, puji pengharaman popi di Afghanistan

Seorang lelaki Palestin bertengkar dengan pengawal sempadan Israel semasa pertempuran antara rakyat Palestin dan pasukan keselamatan Israel berhampiran Damsyik di bandar lama Baitulmaqdis pada 3 April 2022. ( FOTO AFP)
- Advertisement -

JEDDAH: Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk  sekeras-kerasnya serangan dan jenayah yang semakin meningkat setiap hari yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, sekali gus menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan tekanan terhadap rejim zionis itu.

Secara khususnya, apa yang diutarakan OIC itu menonjolkan situasi di kota Al-Quds yang mana ia menegaskan bahawa berlaku pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa dan serangan biadap terhadap jemaah masjid itu secara berterusan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, OIC menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk memberi tekanan terhadap  Israel supaya mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa dan perjanjian dan konvensyen antarabangsa serta menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin dan institusi mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung OIC, Hussein Brahim Taha mengalu-alukan keputusan pihak berkuasa de facto di Kabul yang melarang semua aktiviti penuaian popi di Afghanistan yang termasuklah mengharamkan pembuatan, perdagangan dan pengangkutan bahan narkotik berkenaan.

Beliau berkata larangan ketat terhadap penanaman popi adalah selaras dengan komitmen kerajaan semasa di Afghanistan untuk melaksanakan langkah kawalan dadah yang berkesan.

“Penanaman tanaman alternatif bernilai tinggi serta program pemulihan untuk warga Afghanistan yang mengalami ketagihan dadah harus membentuk bahagian penting dalam usaha bantuan dan pembinaan semula masyarakat antarabangsa di negara itu,” tegas beliau. – Arab News

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -