Harga barangan di bazar Ramadan Kedah berpatutan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Suasana perniagaan di tepi jalan dan bazar Ramadan tahun ini dianggap lebih ceria dan meriah berbanding tahun lalu.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, kebanyakan peniaga menyambut baik keputusan kerajaan negeri membenarkan kawasan bebas berniaga dilanjutkan sehingga Disember 2022.

- Advertisement -

Katanya, situasi yang berlaku sekarang secara tidak langsung memberi keceriaan kepada peniaga kerana dapat mencari rezeki di bulan Ramadan.

“Mereka merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan negeri kerana melanjutkan operasi kawasan bebas berniaga,” katanya di sini.

Kerajaan negeri sebelum ini memutuskan kawasan bebas berniaga yang mula dilaksanakan sejak 2020 dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga bertujuan membantu meringankan bebanan peniaga yang terjejas.

Wan Romani juga berkata, tinjauannya di beberapa bazar Ramadan dan gerai di tepi jalan mendapati harga barangan termasuk lauk pauk dan kuih muih dijual dengan harga yang ditetapkan.

“Dakwaan kononnya harga barangan keperluan terutama pada Ramadan ini mahal tidak benar, malah bekalan makanan untuk Ramadan ini juga mencukupi,” katanya.

Beliau juga berkata peniaga dan pembeli didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mengamal penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. – HARAKAHDAILY 5/4/2022