Boleh bayar fitrah guna satu gantang Nabawi

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah di negeri itu kekal RM7.

Kadar tersebut mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penetapan kadar itu selaras dengan kelulusan mesyuarat MAIPs yang mengekalkan kadar fitrah tahun ini berdasarkan harga beras yang lazim digunakan masyarakat.

- Advertisement -

“Umat Islam yang mahu menunaikan zakat fitrah dengan beras, kadar pengeluaran sebanyak satu gantang Nabawi bagi setiap seorang bersamaan dengan 2.6 kilogram,” titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs sebelum itu melancarkan kadar zakat fitrah sempena Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H anjuran Jabatan Mufti negeri dan MAIPs di Tapak Cerapan Hilal Negeri Perlis kelmarin.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada majlis yang sama, baginda turut berkenan melancarkan penerbitan sebaran ‘Adab-adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah’ terbitan Jabatan Mufti negeri.

Sementara itu, Mohd Nazim berkata setiap orang Islam yang tinggal di Perlis wajib mengeluarkan zakat fitrah seperti yang digariskan bagi dirinya, isteri dan anak serta tanggungannya.

Umat Islam boleh mengeluarkan zakat fitrah melalui amil-amil kariah di seluruh negeri Perlis atau menunaikannya dalam talian melalui pautan https://www.maips.gov.my/pwa/fpx/fpxMain.php.

Selain itu boleh melayari www.maips.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. – HARAKAHDAILY 5/4/2022

- Advertisement -