Skuad Perkeso Prihatin bantu mangsa terbabit kemalangan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

MACHANG: Kecaknaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) banyak membantu meringankan beban keluarga pencarum yang terbabit dengan kemalangan atau kematian.

Adun Temangan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Skuad Perkeso Prihatin sanggup mencari sendiri mangsa-mangsa kemalangan sama ada yang tercedera atau meninggal dunia untuk dibantu.

Katanya skuad terbabit mencari keluarga si mati atau mangsa kemalangan termasuk di laman media sosial untuk membolehkan keluarga pencarum dibantu.

- Advertisement -

“Kalau ada pekerja tidak mencarum ia satu kerugian. Untuk itu sama-samalah kita ambil maklum untuk mendaftar dengan Perkeso,” katanya ketika ditemui selepas program lawatan prihatin bersama Perkeso di sini semalam.

Pada program ziarah itu beliau menyampaikan cek bayaran Faedah Pengurusan Jenazah sumbangan Perkeso kepada keluarga mangsa kemalangan Allahyarhamah Raja Nor Syafirah Raja Muhammad.

Replika cek bernilai RM2,000 itu diserah kepada ibu bapa arwah Raja Muhammad Raja Daud dan Fatimah Mohamad Nor di kediaman mereka di Kampung Raja Hilir. Turut hadir Timbalan Pengarah Perkeso Negeri, Wan Izani Wan Isa.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, rakyat perlu sedar kepentingan mencarum dengan Perkeso sebagai jaminan masa depan sekiranya terbabit dengan kemalangan.

“Mereka yang bekerja sendiri terutamanya disaran merebut peluang mendaftar dengan Perkeso untuk kepentingan mereka pada masa akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/4/2022

- Advertisement -