Kelantan dan Ramadan: Keberkatan yang kita cari

- Advertisement -

RAMADAN adalah masa paling tenang buat bumi Serambi Makkah, Negeri Kelantan Darul Naim. Gemerlapan masyhurnya Ramadan menjadi pesta ibadah menyinar terang hidup dan membugar.

Rutin harian awam yang sibuk dengan pelbagai urusan, pentadbiran, perniagaan jual beli, ziarah kunjungan melancong, dakwah dan pendidikan serta segala macam hal lainnya dilihat semakin rancak di bulan Ramadan.

- Advertisement -

Manakan tidak, Ramadan menjadikan Kelantan semakin pesat oleh aktiviti rakyatnya dan menerima bukan sahaja kepulangan anak perantauan, tetapi juga tetamu dari seluruh pelosok Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk dari benua lain.

Ramai anak Kelantan, termasuk juga para tetamu itu setelah 11 bulan bertungkus lumus penat bekerja dan menambahkan kekayaan, sebulan Ramadan dijadikan masa menekuni khusyuk mengimarahkan ibadah dan bersama keluarga.

Tidak hairanlah ketika ini ahli korporat dan konglomerat, usahawan jutawan, artisan popular atau tokoh manapun yang sering tampil berbusana rasmi, terlihat tawaduk berkain pelikat berjubah serban atau bertudung labuh. Ramadan inilah baru ramai yang tahu kebanyakan mereka itu ‘Kelantanese‘ dan cicah budu. 

Ramai yang tanpa mengira usia, mendaftarkan diri ke pondok pengajian yang merata di seluruh negeri ini menadah kitab Turath dengan tuan-tuan guru. Begitu juga yang setia iktikaf di madrasah, surau atau masjid mengikuti sesi kuliah dan menghayati sunnah agung junjungan tercinta Rasulullah S.A.W. 

Kemeriahan syiar Islam ini juga berlangsung di banyak premis lainnya termasuk pejabat-pejabat dan pasar raya. Negeri Tadahan Wahyu yang gemilang perjuangan para ulamak ini bergema dan asyik dengan alunan al-Quran serta terlihat di merata-rata orang membacanya.

Di pasar yang menjual segala keperluan dan menjadi ‘syurga makanan’ tersohor, unik dan pelik-pelik namanya, juga penuh pengisian rohani dari tazkirah di ‘corner‘ khas diwujudkan. Ketika sama terlihat ‘perlumbaan’ para dermawan yang bermurah hati dan mengejar pahala sedekah.

Program ziarah sumbangan untuk fakir miskin dan menyantuni anak yatim serta iftar untuk golongan itu termasuk tajaan ke pelbagai institusi juga cukup aktif di masa ini. Belum dikira pertemuan jejak kasih hingga terstruktur salasilah keturunan keluarga bergenerasi.

Paling utama dan meninggi julang, adalah semua berhimpun para jemaah soleh solehah bertawajjuh kepada Allah S.W.T menghadap kiblat yang sama menunaikan solat sunat tarawih dan witir serta qiyamullail dan tadarus di samping solat fardu lima waktu. Pemburu malam 1,000 bulan atau Lailatur Qadar boleh ditemui di sini. 

Ia tidak terhad di masjid, surau dan madrasah, atau premis rasmi lainnya, tetapi disemarakkan lagi di lokasi terbuka menerusi khemah-khemah besar bersama para imam jemputan. Damainya terlihat suasana itu sesuai dengan nama Madinah Ramadan diberikan.

Banyak lagi program lainnya termasuk yang meniupkan semangat kebangkitan untuk bersama memperjuangkan dan membela isu-isu Islam dan umatnya di serata dunia. Marilah bermusafir ke Kelantan pada Ramadan ini dan hayati sendiri pengalaman seindah berada di bumi para Anbiya’.

WAN HUSNI WAN OSMAN
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 3/4/2022

- Advertisement -