Ramadan menjanjikan kemenangan yang pasti

- Advertisement -

BULAN Ramadan adalah bulan kemenangan buat umat Islam. Bukan sahaja kemenangan melawan hawa nafsu sehingga sanggup meninggalkan makan dan minum bahkan juga kemenangan di dalam pertembungan antara hak dan batil samada di medan perang mahupun di medan politik.

- Advertisement -

Di bulan yang mulia ini telah dikurniakan kemenangan dalam Perang Badar, Pembukaan Kota Mekah, Pembukaan Sepanyol dan kemenangan di dalam perang Ain Jalut ke atas tentera Tatar yang ganas. Di dalam sejarah era moden, mujahidin Afghanistan telah berjaya membuka Bandar Jalalabad dari cengkaman Soviet Union.

Bukit Banjaluka telah berjaya ditawan oleh mujahidin Bosnia dari tangan tentera Serbia yang kejam disamping kejayaan umat Islam Libya menawan kembali Tripoli dari tangan diktator Muammar Qaddafi dimana ianya juga berlaku pada bulan yang mulia ini. Kesemua peristiwa tersebut adalah beberapa contoh dari sejarah kemenangan di bulan Ramadan ke atas umat Islam, sejarah yang ditulis dengan tinta emas.

Sejarah kemenangan ini diulang oleh umat Islam sejak zaman berzaman dan dari generasi ke generasi yang lain sehinggalah ke zaman ini. Zaman kegelapan umat Islam, zaman Islam menjadi agama yang dagang walaupun di kalangan penganutnya apatah lagi menjadi bahan ratahan oleh musuh – musuhnya samada dari Barat atau Timur.

Apabila kita membicarakan soal kemenangan Islam di zaman ini, terdapat tiga golongan di kalangan umat Islam yang mempunyai pendirian yang berbeza. Golongan pertama ialah mereka yang tidak yakin dengan kemenangan Islam sehingga sanggup menggadaikan perjuangan Islam disamping bimbang untuk menzahirkan perjuangan bagi melaksanakan Syariah Islam dengan seribu satu alasan.

Golongan kedua ialah mereka yang terlalu gopoh untuk melihat kemenangan Islam sehingga mereka sanggup melakukan tindakan-tindakan yang mencemarkan kesucian wajah Islam. Golongan ketiga ialah mereka yang yakin akan kemenangan Islam dan tidak mempersoalkan bila dan bagaimana ianya akan berlaku.

Mereka ini akan terus mengorak langkah perjuangan dengan tindakan-tindakan yang berlandaskan Syariah Islam. Mereka terus mara dengan penuh istiqamah serta tidak sesekali berundur ke belakang. Mereka inilah yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran ;

” Di antara orang yang beriman itu lelaki-lelaki yang benar janji mereka dengan Allah. Di kalangan mereka yang gugur syahid dan juga di kalangan mereka yang menunggu giliran. Dan mereka sekali-kali tidak merubah janji mereka ” ( Al-Ahzaab Ayat 23 )

Kemenangan Islam adalah pasti kerana ianya adalah janji Allah SWT. Bagaimana dan bila ianya akan berlaku ? Itu semua adalah ilmu Allah SWT. Sebagai pendokong gerakan Islam, kita wajib beriman dengan hakikat ini kerana ianya adalah sebahagian daripada aqidah perjuangan.

Jangan sekali-kali kita berpegang bahawa kemenangan itu adalah dengan apa yang kita rancang sehingga kita lupa aspek aqidah perjuangan Islam yang sebenar.

Kisah yang berlaku ketika peristiwa Pembukaan Kota Mekah adalah sebagai satu contoh yang sangat jelas. Kita boleh bayangkan bahawa para sahabat mesti membuat telahan bahawa Mekah akan dibuka dengan peperangan berdasarkan pengalaman sebelumnya di dalam perang Badar dan lain-lain lagi.

Akan berlakunya pertumpahan darah, musuh ditawan dan harta dirampas. Tetapi apa yang berlaku dalam perancangan Allah SWT adalah sebaliknya. Bermulanya kemenangan pembukaan Kota Mekah ialah dengan kemenangan politik dalam perjanjian damai Hudaybiyyah sehingga ianya memberi ruang kepada Rasulullah SAW untuk melebarkan dakwah Islam ke tempat-tempat lain.

Apabila musyrikin Mekah mengkhianati perjanjian tersebut, Rasulullah SAW memimpin umat Islam untuk memerangi Kota Mekah dan akhirnya Kota Mekah berjaya dibuka. Ianya dibuka dengan aman sehingga tidak berlaku sebarang pertumpahan darah.

Kehidupan di dunia ini adalah satu perjalanan menuju ke alam akhirat. Umpama seorang musafir di tengah padang pasir yang gersang menuju ke destinasinya, tiba – tiba bertemu dengan satu kebun yang begitu subur. Penuh dengan mata air, buah-buahan, sayur-sayuran dan segala macam keperluan yang diperlukan oleh seorang musafir untuk meneruskan perjalanannya.

Kebun ini mempunyai dua pintu; satu di hadapan dan satu di belakang. Di depan pintu masuk, pemiliknya berdiri sambil mengalu-alukan si musafir ” Silalah masuk… ambillah apa yang kamu nak ambil untuk keperluan kamu. Ini pintu masuk dan di hujung sana pintu keluar “.

Begitulah perumpamaan bulan Ramadhan yang mulia ini. Ramadan ialah kebun pahala kepada manusia yang sedang bermusafir ke alam akhirat yang kekal abadi. Pemilik Ramadan ialah Allah SWT yang mengalu-alukan hamba-hambanya yang beriman untuk merebut kelebihan pahala di bulan yang mulia ini.

‘Pintu’ keluar Ramadan hampir pasti akan menjelang tiba. Sebelum terlambat, rebutlah peluang beribadah untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin. Jadikanlah bulan Ramadan pada kali ini Ramadan terakhir yang akan meninggalkan kita selama-lamanya, kerana kita tidak mengetahui adakah kita sempat mengecapi Ramadan pada tahun mendatang ataupun tidak.

Ramadan Kami Merinduimu .…

“ Islam Menyatukan Ummah “

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 2/4/2022

- Advertisement -