KEJAYAAN sesuatu dasar tidak cukup sekadar dengan permainan motivasi angka-angka peruntukan kewangan dan material semata-mata. Penglibatan rakyat secara umumnya sangat penting. Ia boleh dibuat melalui satu gagasan untuk dimotivasikan dalam minda rakyat.
Gagasan ‘Bertani Satu Ibadah‘ bermula ketika YB Dato’ Che Abdullah menjadi Exco Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan dan kini terus menyerlah gagasan ini dengan petunjuk-petunjuk keberhasilan penting di kepimpinan YB Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Petunjuk-petunjuk keberhasilan ini adalah gambaran prestasi cemerlang pertanian Kelantan melalui lima sektor utama. Secara ringkas untuk disebutkan seperti berikut.
Pengeluaran hasil tembikai tertinggi di Malaysia lebih 41 metrik tan (mt) setahun adalah daripada sektor pengeluaran buah-buahan. Labu manis dan cili hijau (lada solok) dengan pengeluaran lebih 10 mt dan 7 mt masing-masing setahun juga yang tertinggi daripada sektor pengeluaran sayur-sayuran.
Sektor perikanan dan akuakultur pula dengan 77 penternak melaksanakan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar di Danau Tok Uban yang melibatkan 557 petak sangkar ikan dengan keluasan 7682.9 meter persegi. Pengeluaran tahunan ikan di Danau Tok Uban ialah 50 tan metrik.
Sektor Penternakan pula terus cemerlang dengan pemodenan dan teknologi bio penternakan dalam pembiakbakaan lembu Naimbif dengan komitmen 75 juru suntik permanian beradas yang berdaftar di Kelantan, mencatat jumlah juru suntik teramai di Malaysia (182 orang), sekali gus menjadikan sektor penternakan lembu hybdrid didominasi para penternak di Kelantan.
Akhir sekali sektor Agro Pelancongan, Pusat Ternakan Rusa Rong Chenok dibuka untuk lawatan awam dijadikan sebagai sebuah zon agro pelancongan di Negeri Kelantan yang mempunyai 50 peratus daripada jumlah populasi rusa di Kelantan secara komersial.
Di samping itu, pusat ini berfungsi sebagai pengeluar utama baka dan induk rusa bagi Negeri Kelantan dengan populasi permulaan ternakan sebanyak 66 ekor dan sehingga ini jumlah populasi sebanyak 333 ekor rusa. Ini menjadikan pusat ini antara tempat paling banyak ternakan rusa di Malaysia.
Pada ketika yang sama, dalam sektor ini telah dirintis Projek Pembangunan Agro Pelancongan Jeram Mengaji Agro Resort, Selising, Pasir Puteh telah menjadi tumpuan ramai sehingga mendapat jolokan nama ‘Kundasang Kelantan’.
Lima sektor pertanian semakin dan terus bersinar sebagai manifestasi sebuah gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’ sebagai slogan yang menjadi payung dasar dan suntikan motivasi berterusan untuk dekat dengan Pencipta. Pemasyhuran slogan ‘Bertani Satu Ibadah’ adalah supaya industri pertanian ini disambut dan dinikmati oleh rakyat.
Ini adalah komitmen bahawa pertanian di Kelantan mengutamakan rakyat sebagai penggerak utama. Lalu kejayaan dan hasil yang dikecapi secara bersama. Jika sekadar mahu menjadikan beberapa pelabur kapitalis besar slogan ‘Bertani Satu Ibadah’ sebegini tidaklah begitu penting.
Penghayatan agama dalam sarwa fikir orang Kelantan dimanfaatkan melalui dasar pertanian yang merakyat ini adalah satu kebijakan politik. Ia mungkin tidak kelihatan gah bagi sebahagian pihak yang telah tertawan dengan pendekatan industri mega berorientasikan modal besar.
Namun, pada hemat saya untuk masyarakat Kelantan ianya bermakna mandiri (berdiri atas kaki sendiri) dan lestari dalam memberi hak untuk rakyat setempat dan pemilikan awam melalui kerajaan negeri yang ada. Ia tetap milik ‘kito’. Kito buat kerana beribadah. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat, Insya-Allah.
ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 1/4/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!