KUALA LUMPUR: Perlu ada keseimbangan antara tugas utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar dan peranannya dalam membangunkan Kerjasama Awam dan Tentera (CIMIC), kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.
Beliau berkata ketika ATM sedang memperkemas tugas utamanya, pertimbangan sewajarnya juga diberikan untuk melaksanakan peranan keduanya dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional yang dihadapi negara.
Menurut Affendi, cabaran keselamatan bukan tradisional termasuk memerangi keganasan dan ekstremisme, jenayah rentas sempadan, lanun dan rompakan di laut, bantuan kemanusiaan dan bencana, pemerdagangan manusia, penyeludupan dan jenayah siber.
CIMIC yang pertama kali diperkenal untuk menangani kebangkitan pengganas komunis pada 1950 di bawah Rancangan Briggs, berfungsi dalam rangka kerja pelbagai peringkat pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah untuk meneliti perkembangan kedua aspek keselamatan dan pembangunan.
Perkara itu diberitahunya ketika menjadi panel pada Forum Putrajaya 2020 bertajuk Evolution of Civil-Military Cooperation: Adapting to New Securities Realities di sini semalam.
“ATM perlu terus menggaji pakar dalam CIMIC berkaitan dalam ancaman keselamatan moden. Selain itu, kita juga bukan sahaja perlu bersedia untuk mempersiapkan CIMIC di dalam negara tetapi juga di luar jangkauan agensi terlibat,” katanya.
Ahli panel lain dalam forum itu ialah Panglima Angkatan Tentera Afrika Selatan Jen Rudzani Maphwanya dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) HELP University Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad.
Affendi berkata adalah bernasib baik kerana kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara telah menyedari isu ini dan menanganinya secara giat.
Beliau berkata dengan cabaran keselamatan bukan tradisional yang semakin rumit dan pelbagai, modus operandi ATM CIMIC amat perlu dilihat semula secara berterusan.
Affendi berkata ATM telah menerima prinsip Kawalan Awam Ke Atas Tentera sejak penubuhannya dan kejayaan dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan bukan tradisional boleh dikaitkan dengan rangka kerja CIMIC yang dinamik, holistik dan teruji oleh kakitangan profesional dan cekap.
“Kejayaan kami telah mendapat penghormatan rakyat dan menyediakan platform yang kukuh dalam membina keyakinan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya jangan terleka dengan kejayaan lampau, sambil menekankan konflik dan bencana yang berlaku di dunia membuktikan sekali lagi bahawa ancaman keselamatan bukan tradisional dan darurat adalah kompleks dan dinamik. – BERNAMA