Malaysia Space-X 2030 pacu pertumbuhan industri angkasa negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sedang membangunkan satu rangka tindakan sektor angkasa komprehensif, iaitu Malaysia Space-X 2030 yang menggariskan strategi 10 tahun untuk memacu pertumbuhan serta mewujudkan ekosistem sektor angkasa negara yang komprehensif.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata antara inisiatif utama yang sedang dirancang dan dilaksanakan di bawah Malaysia Space-X 2030 ialah Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN).

- Advertisement -

Katanya, PSPJN ialah inisiatif pembangunan teknologi satelit buatan tempatan melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan industri.

“Inisiatif lain ialah pembangunan Pelan Strategik Industri Angkasa Negara 2030 berdasarkan hasil Kajian Industri Angkasa dengan matlamat untuk memacu industri angkasa tempatan menjadi lebih berdaya saing,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Husain Awang di Dewan Negara, hari ini.

Husain yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan inisiatif kementerian bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam sektor aeroangkasa, terutama yang melibatkan pembangunan program angkasa lepas pada masa akan datang.

Ahmad Amzad berkata, pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi angkasa juga dilakukan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi kecemerlangan di kalangan negara maju.

Katanya, inisiatif lain ialah pembangunan kapasiti dan penyelidikan dalam pembangunan sistem aplikasi, infrastruktur teknologi angkasa serta Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), merangkumi Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit serta Fasiliti Kawalan Misi Satelit di Banting, Selangor dan Stesen Penerima Data Satelit di Temerloh, Pahang.

“Kementerian yakin melalui inisiatif Malaysia Space-X 2030, ekosistem pembangunan sektor angkasa negara yang kondusif dapat diwujudkan.

“Ini seterusnya mampu menyumbang kepada sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.3 peratus atau RM3.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu serta sasaran menduduki tangga ketiga sebagai pemain industri angkasa di kalangan negara Asia Tenggara menjelang 2030,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/22

- Advertisement -