Konsert Justin Bieber fenomena yang membimbangkan

- Advertisement -

Oleh ASMA’ HARUN

APABILA
berlaku pandemik selama dua tahun sehingga aktiviti sosial yang melibatkan ramai orang tidak dibenarkan, kita sangka gejala maksiat sedemikian juga telah mati. Namun bila uar-uar konsert Justin Bieber yang akan berlangsung pada 22 Oktober nanti di Stadium Bukit Jalil, semakin rancak sambutan golongan anak muda.

Tiket dijual dari harga RM288 sehingga RM2,088, tapi mereka sanggup kosongkan duit simpanan, bahkan ada yang sanggup mengambil upah kerja itu dan ini semata-mata untuk beli tiketnya. Antara yang viral juga ialah video seorang anak meminta duit pada ibunya untuk hadir ke konsert. Allahuakbar.

Sungguh, fenomena ini memang sangat membimbangkan. Rupanya kecenderungan untuk hadir ke tempat maksiat masih subur.

- Advertisement -

Wahai adikku, gunakan duit itu ke arah yang lebih bermanfaat

Saya faham perasaan seronok itu sukar dibendung, apatah lagi bila melibatkan artis kesukaan. Tapi dengan harga ratus atau ribuan ringgit itu sebenarnya boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik seperti tampung kos makan minum, yuran pengajian, beli hadiah untuk ibu ayah, bantu adik-beradik atau orang yang lebih memerlukan.

Duit yang disedekahkan itu insya-Allah akan jadi penyejuk kubur, sedangkan yang diguna untuk hadir konsert dan tempat maksiat akan menyempitkannya.

Ya, kita akan dapat kepuasan berseronok tetapi cuba persoalkan pada diri sendiri, “kemudian apa yang aku akan dapat untuk 5, 10, 20 tahun akan datang? Nak cerita dengan bangga pada anak cucu yang aku pernah terkinja di konsert Justin Bieber?” Insya-Allah dik, kalau kamu berjaya lawan nafsu daripada hadir, saya yakin Allah sediakan ganjaran yang amat besar buat kamu.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, maka Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki dirinya”. (Surah Al-Ankabut 29: 69)

Di usia sekarang, saya yakin kalian sudah besar, sedang tumbuh subur sebagai seorang yang akan beri manfaat yang besar kepada masyarakat, saya percaya juga kalian boleh bezakan mana yang baik atau sebaliknya. Saya doakan kalian menjadi generasi yang akan bawa nama baik agama serta menjadi penyejuk mata masyarakat, insya-Allah.

Ibu bapa, janganlah jadi pintu masuk anak-anak ke daerah maksiat

Saya menyeru kepada ibu bapa yang dirahmati Allah sekalian, gunakan kuasa dan kemampuan yang ada untuk selamatkan ahli keluarga kita daripada tergelincir ke daerah maksiat, sama ada disebabkan dorongan nafsu hiburan atau pujukan kawan-kawan.

Firman Allah SWT:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim 66: 6)

Sungguh, peranan ini bukan sahaja dipikul oleh ketua keluarga tetapi juga ibu yang melahirkan anak. Nikmat paling bahagia ialah bila dapat bersama seisi keluarga di dalam Syurga Firdaus di akhirat nanti, maka untuk capai matlamat ini perlu kesungguhan dan ketegasan dalam membimbing anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Bimbang jika semua permintaan anak kita izinkan demi menjaga hati, sekalipun yang terang-terangan berbentuk maksiat, pasti kita akan dipersoal di hadapan Allah kelak. Allahuakbar. Maka, bertegaslah selagi perlu meskipun akan dicemuh oleh anak sendiri. Mungkin mereka belum faham, tetapi yakinlah Allah pasti akan perlihatkan hikmahnya kepada mereka nanti.

Semoga penulisan dari hati ini sampai ke hati

Penulisan ini dibuat dengan tujuan agar masyarakat kita dapat dijauhkan daripada mengimarahkan program-program yang menjejaskan iman mereka bahkan mungkin menjemput bala, na’uzubillah. Saya mungkin tiada kuasa seperti mereka yang meluluskan program ini, tapi itu tak bermakna kita hanya perlu diam dan bersilang tangan.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim, hadis sahih)

Jika alasan membenarkan konsert ini mengambil tempat di bumi Malaysia bagi menjana semula ekonomi negara, fikir semula mana yang lebih berbaloi; wang atau keberkatan. Masih banyak cara untuk tingkatkan ekonomi negara, mengapa masih memilih jalan mungkar?

Dalam Islam, kaedah fiqh ada mengatakan bahawa:

الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَة

Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara.”

Hormati bulan Ramadan yang bakal tiba

Tiket ke konsert tersebut akan dibuka pada 31 Mac, bersamaan dengan malam 1 Ramadan pada hari yang sama. Sebenarnya ini merupakan ujian keimanan buat orang mukmin.

Sekiranya kita benar-benar menjaga kemuliaan Ramadan, nescaya kita akan lawan daripada menghadiri program tersebut, sesuai dengan konsep Ramadan yang tujuannya untuk melatih orang mukmin melawan hawa nafsu, meskipun konsert itu diadakan pada bulan 10 nanti.

Berjuanglah habis-habisan melawan kehendak nafsu yang memperdaya, agar kita tidak tercicir akhirat lalu ditipu kehidupan dunia. Sungguh, kebahagiaan abadi tidak diukur dengan miskin atau kaya, bertemu artis atau orang ternama, tetapi hanya apabila kaki sudah berpijak di dalam syurga.

Kita bimbang sekiranya Ramadan kali ini berlalu dengan sia-sia, tanpa mendapat sebarang pengampunan atau rahmat yang amat diperlukan oleh si hamba.

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:

أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak tiga kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu dia berkata: Siapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin. Dan siapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada meraka, kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin. Dan siapa yang disebut kepadanya namaku namun dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin.” (HR Ibnu Hibban, hadis sahih)

Mari sama-sama kita amalkan doa ini agar diselamatkan ahli keluarga seluruhnya daripada perbuatan maksiat yang merugikan:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan keturunan kami sebagai penyenang mata (dan hati), serta jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Furqan 25: 74) – HARAKAHDAILY 30/3/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!