Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Tiga resolusi dihasilkan dalam Persidangan Meja Bulat Inisiatif Lelaki Qawwam yang diadakan hasil inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan isu pemerkasaan peranan golongan lelaki.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata persidangan pada 30 November tahun lalu adalah untuk memandu hala tuju inisiatif dan pelan tindakan bersesuaian bagi melaksanakan inisiatif ini.
Menurutnya, tiga resolusi berkenaan ialah pertama, mendayaupayakan peranan lelaki sebagai bapa dan suami yang boleh menjadi ikon kepada keluarga bagi mengukuhkan kestabilan institusi kekeluargaan dalam pembinaan bangsa dan negara.
“Kedua, meningkatkan keupayaan dan kemahiran kepada golongan lelaki dalam memikul tanggungjawab yang lebih besar melalui pelbagai bidang pekerjaan, terutama dalam sektor yang kritikal.
“Ketiga ialah melaksanakan kajian ke atas dasar atau program sedia ada di peringkat Persekutuan atau negeri yang memerlukan penambahbaikan, mencipta program baharu atau mengubah program lama kepada program yang berimpak tinggi yang lebih mendasari agar gagasan lelaki Qawwam ini dapat dilaksanakan di peringkat negara,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Senator Hajah Nuridah Mohd Salleh yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS, yang bertanyakan sejauh mana perancangan strategik dan hala tuju Inisiatif Lelaki Qawwam yang akan diperkenalkan serta hasil yang diperolehi daripada sesi meja bulat yang telah dijalankan.
Sehubungan itu, Ahmad Marzuk berkata, satu pelan komunikasi yang holistik dan komprehensif dalam melaksanakan program bagi menangani isu ini berdasarkan dasar sedia ada dan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) diwujudkan.
Katanya, pelaksanaan Pelan Komunikasi Inisiatif Lelaki Qawwam yang telah dirangka ini kelak diharapkan akan memberikan manfaat terhadap kesejahteraan keluarga sejajar dengan iltizam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) melalui pendekatan Keluarga Malaysia yang menjadi hala tuju pentadbiran negara kini.
“Ini seterusnya mendukung pendekatan ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera’ di peringkat agensi-agensi Islam yang mana pelaksanaan pendekatan ini berpandukan kepada prinsip asas Maqasid Syariah,” katanya.
Sementara itu, katanya JAKIM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang berbincang untuk mengintegrasikan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) yang akan dilaksanakan pada tahun 2023
Katanya, pengintegrasian sistem itu adalah susulan langkah kerajaan untuk membeku akaun lelaki yang ingkar membayar nafkah kepada bekas isteri selepas mendapat perintah mahkamah.
“Kerajaan memahami kesukaran isteri yang diceraikan kerana kehilangan tempat bergantung, apatah lagi kepada isteri yang tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri.
“Pengumuman Perdana Menteri berhubung perkara ini pasti memberi kelegaan kepada isteri yang menghadapi masalah ini, JAKIM menyambut baik agar JPN mendaftar semua maklumat berkenaan status perkahwinan, perceraian, kematian semua warga Malaysia tidak kira bangsa atau agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/22
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!