Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan syarikat korporat menjadikan Mangga Harumanis Perlis sebagai pilihan utama untuk dihadiahkan kepada pelanggan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Manakala bagi keluarga yang berkemampuan pula boleh jadikan buah tersebut sebagai juadah berbuka puasa bersama keluarga.
“Musim buah ini singkat iaitu antara dua hingga tiga bulan sahaja setahun. Jika diteliti berdasarkan kaedah serta kos penanamannya, ternyata harga berkenaan munasabah.
“Malah pengusaha juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi ekoran kenaikan harga input pertanian sekarang,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022, semalam.
Majlis anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Pusat Pertanian Bukit Bintang itu turut dihadiri Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan Malaysia), Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Negeri Perlis Hafizuddin Othman.
Raja Muda Perlis juga menyarankan pengusaha mengurus tanaman berdasarkan amalan pertanian baik bagi memastikan kualiti buah pada gred premium dan selamat dimakan.
Baginda turut mencadangkan pemilik ladang harumanis memohon persijilan MyGAP daripada Jabatan Pertanian, di mana ia akan meningkatkan lagi kualiti hasil selain diiktiraf berkualiti dan selamat.
Selain itu baginda turut merakam penghargaan kepada Maybank yang membantu pasaran secara dalam talian dan Air Asia mengembangkan pasaran ke Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 29/3/2022