Memperingati 19 tahun penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq

- Advertisement -

20 Mac lalu, genap 19 tahun Amerika Syarikat menakluk Iraq di bawah pimpinan George W. Bush dengan alasan memiliki senjata pemusnah selain mendakwa Saddam Hussein mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda. Kedua-dua alasan ini terbukti dusta terutamanya senjata pemusnah apabila tiada satu pun senjata yang dikatakan tersebut dijumpai sepanjang tempoh pencarian di Iraq baik oleh PBB mahupun International Atomic Energy Agency (IAEA).

Laporan Akhbar The Guardian pada 7 Oktober 2004 telah menyatakan bahawa sepanjang dua tahun pencarian yang membabitkan lebih 1,625 anggota pelbagai agensi di bawah PBB dan Kerajaan Amerika Syarikat yang menelan belanja sebanyak USD1 bilion, di akhir penyiasatan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa tidak terdapat bukti kukuh menunjukkan yang Saddam Hussein mahupun Iraq mempunyai senjata pemusnah.

Akibat daripada laporan badan perisikan Amerika Syarikat yang menyatakan Saddam Hussein dan Iraq mempunyai dan memiliki keupayaan untuk menghasilkan senjata pemusnah terutamanya senjata biologi, Amerika Syarikat, Britain dan sekutu-sekutu mereka tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB dan PBB sendiri bertindak secara unilateral membelakangkan dunia menyerang Iraq.

Peperangan tersebut telah mengorbankan lebih dari setengah juta rakyat Iraq dan hampir 4,500 orang tentera Amerika Syarikat. Namun jika dicampurkan dengan tentera pelbagai negara yang berkhidmat di Iraq sama ada ketika peperangan mahupun selepasnya, jumlah keseluruhan anggota tentera pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat yang terbunuh mencecah 5,000 orang.

- Advertisement -

Kesan daripada peperangan tersebut boleh dilihat sehingga ke hari ini. Kebanyakan daerah mahupun bandar yang menerima kesan teruk daripada peperangan tersebut tidak mampu bangkit sama sekali. Kebanyakan tempat masih tidak memiliki kemudahan asas yang sempurna seperti elektrik, air yang bersih dan terawat serta banyak lagi kemudahan asas yang tidak diperolehi oleh kebanyakan rakyat Iraq.

Runtuhan bangunan masih lagi kelihatan di banyak tempat di Iraq. Ekonominya masih lagi lemah dan banyak bergantung kepada bantuan asing. Tambahan saat ini dalam keadaan pasaran minyak dan gas tidak menentu, ia akan tentu lebih memburukkan keadaan di Iraq yang tentunya banyak bergantung kepada hasil minyak dan gas sebagai sumber pendapatan.

Namun alasan sebenar penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq adalah untuk menjaga keselamatan rejim zionis Israel dan mengawal pengaruh Iran di Timur Tengah. Rejim zionis Israel adalah ibu kepada segala kejahatan dan war monger. Mana-mana negara yang dilihat mengancam keselamatan mahupun kekuatan rejim zionis Israel akan dianggap musuh oleh Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya.

Dunia Islam masih lagi tidak sedar bahawa betapa bahayanya rejim zionis Israel terhadap keselamatan mahupun keutuhan perpaduan Dunia Islam. Sejak jatuhnya Palestin ke tangan rejim zionis Israel ketika perang Arab-Israel pada tahun 1948, sedikit demi sedikit tanah Palestin dijajah hingga seperti apa yang dilihat hari ini. Dalam pada itu keutuhan dan perpaduan umat serta Dunia Islam terutamanya di Timur Tengah yang dahulunya kukuh kini sudah retak menanti belah.

Dahulunya majoriti negara-negara Arab di Timur Tengah berdiri teguh dan menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin. Namun lama-kelamaan perjuangan tersebut kian pudar malah hari ini kelihatan secara jelas beberapa negara Arab di Timur Tengah telah mula menormalisasikan hubungan dengan rejim zionis Israel. Ini adalah kerana pengaruh rejim zionis Israel melalui Amerika Syarikat mula menular di kalangan negara-negara Arab.

Akhbar Al-Hayaat dalam Bahasa Arab yang berpusat di London dalam satu laporannya pada tahun 2003 melaporkan strategi pecah perintah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas Iraq menjadi model untuk dilaksanakan ke atas negara-negara lain di Timur Tengah khususnya dan di Dunia Islam umumnya dimana hasilnya seperti apa yang kita lihat berlaku hari ini.

Iraq sebelum penaklukan Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang mempunyai majoriti pengikut Sunni dan diikuti oleh pengikut Syiah khususnya di sebelah Selatan Iraq. Kehidupan rakyat Iraq pada masa itu dalam keadaan baik dan harmoni walaupun berdepan dengan sekatan PBB. Setelah Iraq ditakluk, Amerika Syarikat memecah-belahkan penduduk Iraq kepada suku kaum, bangsa dan mazhab untuk melaga-lagakan mereka.

Dari sudut kaum dan bangsa, Iraq dipecahkan kepada Arab, Kurdis dan Torkuman. Dari sudut mazhab pula ia dipecahkan kepada Sunni dan Syiah. Di zaman Saddam Hussein semua kaum dan bangsa disatukan justeru menjadikan pengikut Sunni sebagai majoriti kerana lebih 90 peratus bangsa Kurdis dan Torkuman adalah Sunni.

Namun setelah Iraq ditakluk, Amerika Syarikat memecah-mecahkan segmen ini sehingga menjadikan pengikut Syiah sebagai majoriti di Iraq dengan hanya mengambil kira bangsa Arab dan mengeluarkan bangsa Kurdis dan Torkuman. Maka jika kita lihat selepas penaklukan Iraq oleh Amerika Syarikat, berlaku perseteruan antara mazhab dan bangsa yang mengakibatkan ramai yang terkorban.

Ia satu langkah yang bijak oleh Amerika Syarikat yang kemudiannya menyaksikan perbalahan sesama mazhab dan bangsa itu terus berlarutan dan dalam masa yang sama Amerika Syarikat mengaut kekayaan bumi Iraq. Rejim zionis Israel pula dalam masa sama menyusup masuk ke dalam Iraq untuk mengatur strategi menggunakan Iraq sebagai platform perluasan kuasa dan kawasan seperti mana yang tertera dalam pelan The Greater Israel.

Namun mutakhir ini menunjukkan strategi tersebut memakan tuan, apabila Iran dengan bijak mengambil peluang dan berjaya menguasai Iraq. Begitu juga perancangan Amerika Syarikat di Syria dengan menggunakan model yang sama seperti mana di Iraq namun tidak menjadi. Saat ini, Kerajaan Iraq dan rakyatnya menghendaki Amerika Syarikat keluar dari negara mereka manakala di Syria, Amerika Syarikat telah hilang pengaruh dan dipinggirkan malah dijangka akan keluar dari Syria.

Iraq selepas pembunuhan Jeneral Qaseem Sulaimani

Setelah 19 tahun penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq, bumi Iraq terus bergolak bahkan makin teruk berbanding sebelum penaklukan Amerika Syarikat. Selepas penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq, rakyat Iraq mula bangkit menentang kehadiran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya. Bermula pada Mei 2003 sehingga April 2007 menyaksikan purata antara 2,000-3,000 serangan dilakukan setiap bulan ke atas tentera Amerika Syarikat dan sekutunya.

Kebangkitan rakyat Iraq terhadap penaklukan dan penguasaan Amerika Syarikat semakin memuncak beberapa minggu sebelum berlakunya pembunuhan Qassem Soleimani. Rakyat Iraq menghendaki tentera Amerika Syarikat dan sekutunya keluar dari Iraq dan mereka keluar beramai-ramai ke jalan raya mendesak Kerajaan Iraq supaya melakukannya. Kemarahan rakyat Iraq memuncak apabila mereka merempuh kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad pada penghujung 2019 sambil melaungkan Death To America.

Akibat daripada itu, Presiden Donald Trump menuduh Iran sebagai punca kejadian tersebut sambil memberikan amaran dan ugutan bahawa Iran akan membayar dengan harga yang tinggi akibat kejadian tersebut. Beberapa hari kemudian, Qassem Soleimani dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat ketika baru sahaja sampai di lapangan terbang Baghdad atas arahan Donald Trump.

Selepas pembunuhan Qassem Soleimani, desakan rakyat Iraq supaya tentera Amerika Syarikat dan sekutunya keluar dari Iraq semakin kuat. Tunduk kepada desakan tersebut, akhirnya pada 5 Januari 2020, Parlimen Iraq mengundi dan meluluskan supaya semua tentera asing terutamanya Amerika Syarikat dikeluarkan dari Iraq.

Donald Trump berang dengan keputusan pengundian Parlimen Iraq dan mengugut akan mengenakan pelbagai sekatan terhadap Iraq di samping mengenakan tuntutan sejumlah USD 1 bilion di atas segala usaha Amerika Syarikat selama ini. Bagaimanapun Kerajaan Iraq tetap dengan keputusannya dan akhirnya kesemua tentera asing di Iraq termasuk Amerika Syarikat akur dengan tuntutan tersebut namun pengunduran akan dilakukan berperingkat-peringkat.

Perkembangan ketika itu menunjukkan Amerika Syarikat akan mengundurkan tenteranya kemudian diikuti oleh pengunduran tentera Perancis dan Jerman. Menurut sumber Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, kemungkinan besar pengunduran sepenuhnya akan dilakukan pada penghujung 2020 dengan tentera asing termasuk Amerika Syarikat telah memulakan pengunduran mereka di beberapa kem utama di Iraq seperti di pangkalan udara Habbaniyah di sempadan Fallujah dan Al-Ramadi.

Namun sumber Reuters melaporkan pada masa tersebut bahawa Amerika Syarikat sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atas tentera Al-Hasyd Al-Syaabi yang merupakan proksi Iran setelah beberapa serangan dilancarkan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di beberapa lokasi di Iraq seperti serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Taji, di utara Baghdad yang membunuh dua warga Amerika Syarikat dan seorang warga Britain.

Ketika itu juga mendapat liputan hangat di seluruh dunia apabila berlakunya pertikaman lidah antara Amerika Syarikat dan Iran. Donald Trump memberi amaran kepada Iran bahawa mereka akan menerima nasib yang amat buruk jika menyerang kedudukan tentera Amerika Syarikat di Iraq. Malah Donald Trump turut menyebut walaupun serangan tersebut adalah daripada kumpulan militia, ia tetap daripada Iran.

Dalam masa yang sama pemimpin politik dan tentera Iran juga mengecam malah memberi amaran kepada Donald Trump dan Amerika Syarikat. Mohamad Javad Zarif, Menteri Luar Iran ketika itu di antara yang lantang mengecam serta mengancam Amerika Syarikat dan Donald Trump.

Dalam ciapan Twitternya yang mendapat liputan meluas ketika itu sebagai membalas tweet ancaman Donald Trump, beliau mengatakan Don’t be mislead by usual warmongers, again, Donald Trump. Iran has friends, no one can have million of ‘proxies’. Unlike the US which surreptitiously lies, cheats & assassinates. Iran only acts in self-defense. Openly. Iran starts no wars, but teaches lessons to those who do.

Ketika ini hanya tinggal lebih kurang 2,500 anggota tentera Amerika Syarikat di Iraq dan 1,000 lagi anggota tentera pelbagai negara. Bilakah sebenarnya akan berakhirnya pendudukan tentera asing terutamanya Amerika Syarikat ke atas Iraq? Adakah benar tentera asing terutamanya Amerika Syarikat akan mengundurkan tenteranya dari Iraq? Jika diperhatikan keadaan semasa, berkemungkinan sukar untuk Amerika Syarikat dan sekutunya berundur sepenuhnya dari Iraq.

Rejim zionis Israel sudah tentu tidak mahu melepaskan Iraq kerana Iraq adalah salah satu daripada pelan awal perluasan kuasa rejim zionis Israel di Timur Tengah iaitu ‘The Greater Israel’. Menurut ramai penganalisa politik, jika tumbang Iraq bermakna mudahlah untuk Amerika Syarikat terutamanya rejim zionis Israel untuk mengukuhkan kuasanya serta menguatkan cengkaman ke atas negara-negara Arab.

Namun nasib Iraq tidak seindah Ukraine. Iraq langsung tidak dibela malah dikecam serta diserang habis-habisan. Rakyat Iraq tidak mendapat keadilan dan penderitaan mereka tidak mendapat liputan meluas di media-media utama dunia sebagaimana Ukraine ketika ini. Hasil bumi Iraq dijarah, hasil minyak dan gas Iraq “dirompak“ namun rakyat Iraq dibiarkan menderita sehingga hari ini. Tidak ada bantuan berbillion dollar, tidak ada liputan di Kongres Amerika Syarikat, Forum Kesatuan Eropah dan sebagainya, itulah ketidakadilan yang berlaku ke atas Iraq dan rakyatnya.

Dalam kehangatan Amerika Syarikat dan Barat mengecam Rusia kerana pencerobohannya ke atas Ukraine, jangan lupa pencerobohan dan serangan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq yang telah mengakibatkan lebih kurang setengah juta rakyat Iraq terkorban. Mengapa tidak diheret “penceroboh“ ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, mengapa tidak dikenakan pelbagai sekatan sebagaimana yang dilakukan ke atas Rusia ketika ini? Kerana inilah sebenarnya sikap hipokrit Barat, sikap berat sebelah yang hanya berpandukan kepentingan mereka semata-mata

Sayangnya, jika Dunia Islam kuat dan bersatu padu, sudah tentunya ini semua tidak akan berlaku malah Dunia Islam di Timur Tengah akan memperolehi kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan.

khalil
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Sedihnya, itu semua tidak berlaku saat ini dan jauh dari jangkauan. Dunia Islam kucar-kacir dan berpecah-belah. Selagi mana tiada kesedaran di kalangan Dunia Islam betapa pentingnya perpaduan, berkerjasama dan saling percaya mempercayai selagi itulah Dunia Islam akan jatuh ke lembah kehinaan. Doakan supaya umat dan Dunia Islam bersatu seterusnya memperolehi kejayaan di dunia dan juga di akhirat.

Islam Menyatukan Ummah

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -