Exco jamin bekalan benih padi cukup

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PADANG SERAI:
Bekalan benih padi untuk musim akan datang dijamin mencukupi, kata Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin.

Menurutnya, ini apabila pembinaan sebuah kilang baharu memproses benih padi di Pendang siap menjelang Ogos 2022.

- Advertisement -

Tambahnya, perkara itu dimaklum serta mendapat jaminan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Negeri Kedah.

Menurutnya lagi, kilang memproses benih padi yang asalnya sebuah kilang padi yang terletak di Kubur Panjang, Pendang itu adalah milik PPK.

“Kilang tersebut akan memproses benih padi yang lebih baik dan sudah pastilah akan memberi kelegaan kepada penanam padi terutamanya di negeri ini,” kata beliau pada sidang media sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah (HPPNK) 2022 di Stadium Kulim di sini, semalam.

Katanya, sebanyak empat buah kilang memproses benih padi sedia ada sebelum ini tidak mencukupi keperluan benih.

Namun, ujarnya apabila kilang yang baharu di Pendang itu mula beroperasi Ogos ini, masalah yang dihadapi petani akan dapat selesaikan.

Laporan yang dipetik dari media tempatan di sini juga memaklumkan, beliau juga turut memberi jaminan bekalan benih padi pada musim akan datang berada pada tahap yang terbaik.

“Apa yang penting kita akan membekalkan benih padi yang berkualiti dengan harga yang telah ditetapkan oleh kementerian iaitu harga di pintu kilang sebanyak RM31 dan harga yang sampai kepada petani adalah RM35,” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata penanam padi di Kedah memerlukan 14,000 tan benih padi semusim atau 28,000 tan setahun bagi kawasan di bawah Lembaga Pertanian Muda (MADA).

Justeru, Azman memohon agar pihak kementerian terbabit dapat  memberikan kuota sebanyak 5,000 metrik tan untuk dibekalkan kepada petani. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -