Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik, ATA IMS Bhd, syarikat yang ditamatkan kontrak oleh Dyson Manufacturing, mendapati kemudahan penginapan pekerja yang disediakan tidak mempunyai perakuan penginapan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata pemeriksaan yang dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia bertujuan mermastikan majikan mematuhi peruntukan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Selain itu, katanya pemeriksaan berkanun terhadap syarikat itu bertujuan memastikan perundangan perburuhan seperti Akta Kerja 1955 dan Akta Umur Minimum Persaraan 2021 dipatuhi.
“Pemeriksaan pada 5 Mei 2021 susulan aduan yang diterima berkaitan tuntutan segera untuk memeriksa akta berkaitan standard penginapan yang disediakan oleh Dyson,” katanya menjawab soalan lisan Senator Noraini Idris di Dewan Negara, hari ini.
Hasil pemeriksaan itu, katanya lima unit penginapan yang majikan sediakan didapati tidak mempunyai perakuan penginapan, namun berada dalam keadaan baik dan sesuai didiami mengikut Akta 446.
Sehubungan itu, katanya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 24D Akta 446 bagi kesalahan tidak mempunyai Perakuan Penginapan dan ATA IMS Berhad dikenakan kompaun bagi setiap kesalahan tersebut.
Mengulas dakwaan bahawa pekerja bekerja melebihi tempoh masa ditetapkan dan melebihi tempoh kerja lebih masa yang dibenarkan, iaitu sehingga 186 jam dan ikatan hutang, katanya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia bersama Jabatan Imigresen Malaysia, membuat pemeriksaan pada 3 Julai 2021.
“Hasil siasatan merndapati tiada sebarang pelanggaran waktu kerja dan kerja lebih masa mengikut Akta Kerja 1955 serta berkaitan ikatan hutang. Namun terdapat pelanggaran dalam pengiraan gaji dan kelewatan pembayaran gaji. Bagaimanapun, majikan telah mematuhi selepas notis pematuhan dikeluarkan oleh jabatan,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia sentiasa memantau dan membuat siasatan susulan terhadap syarikat lain supaya semua perspektif amalan buruh paksa, termasuk elemen jenayah pemerdagangan orang dapat ditangani.
Katanya, ini sekali gus dapat merealisasikan hasrat negara menghapuskan amalan buruh paksa menjelang 2030. – HARAKAHDAILY 29/3/22