Sumbangan persekolahan tajaan Yayasan Taqwa

- Advertisement -

MARAN: PAS Kawasan Maran telah menerima sumbangan keperluan sekolah daripada Yayasan Taqwa sempena bermulanya sesi persekolahan di Markas Tarbiyyah PAS Maran, Kampung Embun, Chenor, di sini. 

- Advertisement -

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pahang, Rohaya Razali kepada Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman, baru-baru ini.

Menurut Rohaya, Yayasan Taqwa melalui pengurusan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary telah menyumbang sebanyak 301 kit peralatan sekolah. 

“Ia berupa beg, pakaian sekolah, peralatan menulis dan kasut serta bahan mini sanitasi untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan sedikit golongan yang memerlukan, terutama bagi keluarga yang terkesan sumber pendapatannya  akibat pandemik COVID-19 ini, insya-Allah,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Maran, Ustaz Zawawi Ahmad memaklumkan pihaknya akan mengagihkan sumbangan yang terima tersebut kepada tiga DUN dalam Parlimen Maran. 

“DUN Ulu Jempol dan Chenor serta Luit masing-masing akan menerima sumbangan 100 kit setiap DUN untuk diagihkan. Penerimanya nanti akan dipilih berdasarkan asnaf yang sudah dikenali pasti oleh pihak pengurusan DUN-DUN tersebut.

“Kami hari ini berasa sangat bertuah kerana dipilih oleh Yayasan Taqwa, semoga dapat membantu mereka yang susah dan di samping itu, kami berharap dapat menceriakan anak-anak yang akan memulakan persekolahan,” ujarnya. 

Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Mujibur Rahman Ishak, merangkap ADUN Chenor dan Setiausaha PAS Maran, Mohamad Nasir Taib. – HARAKAHDAILY 28/3/2022

- Advertisement -