Kerja belum selesai, kontraktor sudah lari

- Advertisement -

BARU-baru ini seorang kawan datang berjumpa saya mengadu bahawa kontraktor untuk mengubahsuai (renovation) kediaman beliau telah menghilangkan diri. Kawan saya itu telah membeli sebuah pangsapuri mampu milik dan beliau telah melantik seorang kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja mengubahsuai dan penambahbaikan (upgrading). Pada mulanya kerja-kerja berjalan dengan lancar tetapi apabila pandemik COVID-19 melanda dan ‘lockdown‘ dikuatkuasakan, kemajuan kerja-kerja tersebut terjejas. 

Kemajuan kerja menjadi perlahan dan tarikh kerja-kerja dijangka siap terpaksa dipinda beberapa kali. Akhirnya berlaku pertengkaran di antara kawan saya dan kontraktor tersebut di mana kontraktor itu telah menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi. Panggilan telefon tidak dijawab.

- Advertisement -

Masalahnya beliau telah membayar keseluruhan kos untuk kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan. Lebih RM30,000 telah dibayar walhal menurut kiraan saya hanya kurang dari 40 peratus dari kerja-kerja menurut kontrak telah diselesaikan. Walaupun setiap bayaran direkodkan namun ini tidak bermakna kerana ia akan mengambil masa dan mungkin kos tambahan untuk menuntut semula duit yang telah dibayar. 

Sekiranya beliau hanya membayar untuk kerja-kerja yang telah siap, beliau boleh melantik kontraktor yang baharu untuk menyiapkan kerja-kerja yang belum siap tanpa kos tambahan yang banyak. Sekarang jika beliau hendak melantik kontraktor yang baharu, beliau terpaksa membayar dua kali untuk kerja yang sama.

Pengajaran pertama dari kes ini adalah jangan membayar untuk kerja-kerja yang belum dilaksanakan. Kontraktor anda perlu membuat tuntutan untuk setiap peringkat kerja. Sekiranya anda tidak memahami mengenai pembinaan maka anda perlu mendapatkan bantuan dari mereka memahaminya. Beliau boleh menasihati anda sama ada kerja-kerja yang dituntut oleh kontraktor telah disiapkan sepenuhnya dan memuaskan. Hanya bayar apabila anda berpuas hati dengan kerja-kerja tersebut. 

Untuk projek-projek besar pemilik projek (tuan rumah) akan mendapatkan khidmat perunding seperti arkitek atau jurutera untuk membuat penilaian. Tetapi bagi pengubahsuaian dan penambahbaikan rumah anda, dapatkan seorang kawan yang boleh membantu. 

Selalunya di dalam sebut harga yang diberikan akan disenaraikan kerja-kerja dan kos untuk kerja-kerja tersebut. Contohnya untuk pemasangan jubin (tiles), kerja-kerja siling, pemasangan jeriji, menukar tingkap dan pintu, pemasangan peralatan elektrik atau pemasangan kabinet dapur. Justeru anda boleh menganggarkan kos yang telah dibelanjakan oleh kontraktor apabila beliau membuat tuntutan.

Masalah utama kawan saya adalah beliau tidak dapat mengesan kontraktor beliau. Kontraktor tersebut hanya dicadangkan kepada beliau oleh seorang kawan. Apabila kontraktor itu tidak lagi menjawab panggilan beliau, beliau tidak tahu bagaimana untuk menghubunginya. 

Malah beliau tidak mengetahui nama penuh kontraktor yang beliau lantik. Walaupun sebut harga yang diberi adalah di atas nama syarikat namun beliau tidak mengetahui apakah kedudukan kontraktor itu di dalam syarikat tersebut kerana ia menggunakan nama orang lain. 

Pengajaran kedua dari kes ini adalah kenali kontraktor anda. Dapatkan nama penuh, nombor telefon dan nombor kad pengenalan beliau. Sepatutnya apabila beliau menandatangani surat persetujuan untuk menerima kerja tersebut, ke semua maklumat-maklumat itu perlu dinyatakan dengan jelas.

Anda juga perlu mengetahui di mana pejabat syarikat kontraktor anda. Pergi ke pejabat tersebut untuk mengesahkan kewujudannya. Adakah pejabat itu benar-benar wujud atau berkongsi dengan syarikat lain? Atau adakah syarikat itu menumpang pejabat syarikat lain? Maklumat-maklumat ini dapat membantu anda menilai kredibiliti atau keupayaan syarikat tersebut. Semak juga status syarikat itu.

Penting juga anda mengetahui di mana tempat tinggal kontraktor anda. Sekiranya syarikat beliau ditutup dan pejabatnya ditutup atau berpindah, sekurang-kurangnya anda mengetahui di mana hendak mencari beliau. Tidaklah anda tercari-cari untuk mengesan kontraktor anda. Mungkin beliau agak keberatan untuk memberitahu di mana beliau tinggal jadi gunakan kebijaksanaan anda untuk mendapatkan maklumat ini. Ini amat penting jika kontraktor anda adalah ‘tukang rumah’ yang bekerja bersendirian dan tidak berdaftar.

Jadi apakah nasihat saya kepada kawan saya itu? Sebenarnya bukan susah untuk mengesan sesiapa pada era media sosial ini. Jika ada gambar, dalam masa 24 jam kita boleh mengesan seseorang. Tetapi nasihat saya berbincanglah dengan baik. Jangan mengugut kerana kita tidak mahu kontraktor itu pula membuat laporan polis kononnya dia telah diugut. Mungkin juga kontraktor anda dibebani pelbagai masalah kerana ketika pandemik seribu satu masalah telah muncul. Daripada kekurangan pekerja kepada kenaikan harta barang. Jika mahu mengambil tindakan mahkamah, pastikan ia benar-benar berbaloi. Jangan bertindak menurut emosi.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras 
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 28/3/2022

- Advertisement -