Empangan Nenggiri pada peringkat pelaksanaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang kini berada pada peringkat pelaksanaan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja untuk penjanaan tenaga bahkan ia merupakan inisiatif untuk mengurangkan kejadian banjir.

- Advertisement -

“Empangan yang dijangka beroperasi pada 2026 itu bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila siap kelak, selain ia juga dapat menjadi punca bekalan air.

“Dalam tempoh terdekat iaitu sekitar satu bulan lagi, projek pecah tanah akan diadakan untuk kita laksanakan (pembinaan) empangan Nenggiri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Keluarga Kota Bharu di Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan tidak mengambil berat aspek kepentingan Orang Asli susulan pembinaan empangan berkenaan.

Katanya, segala tindakan yang diambil oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan adalah berdasarkan undang-undang, sekali gus tidak timbul isu kerajaan tidak mengambil berat kebajikan Orang Asli dan sebagainya.

“Undang-undang mengatakan kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tanah orang tertentu tanpa pampasan sepatutnya, jadi pampasan dan sagu hati telah dibayar termasuk pembinaan rumah kepada mereka yang terlibat.

“Kita juga berharap pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya lebih bertanggungjawab dalam melontarkan segala tohmahan kepada kerajaan dan TNB,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan projek pembinaan Empangan Nenggiri mendapat bantahan daripada kumpulan yang menentang projek itu kerana didakwa akan menghapuskan identiti masyarakat Orang Asli dan hubungan mereka dengan alam sekitar. – BERNAMA

- Advertisement -