PRU15: Tuntut kerusi P.058 Bagan Serai ditandingi PAS

Miliki rekod dan kekuatan signifikan untuk menang

- Advertisement -

BAGAN SERAI: PAS Kawasan Bagan Serai telah mengemukakan memorandum mendukung supaya parti itu kembali menuntut kerusi Parlimen P.058 Bagan Serai dan bertanding pada PRU15 akan datang.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid berkata, berdasarkan sejarah, PAS telah membuktikan ianya merupakan parti paling awal bertapak di Parlimen tersebut dan pernah memenanginya tahun 1955.

Malah PAS katanya, mempunyai struktur dan dukungan terkuat dengan jumlah cawangan yang banyak dan ahli ramai di mana terkini bertambah lagi 17 PAS Cawangan baharu diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Bahkan ujarnya, berdasarkan data-data PRU12, PRU13 dan PRU14, parti itu menerima rekod jumlah undi yang kian bertambah termasuk pernah menang dua dari tiga DUN dalam Parlimen tersebut.

“Pada PRU14 pula, PAS yang bertanding secara bersendirian di kerusi Parlimen P.058 Bagan Serai telah membuktikan kekuatannya dengan hanya kalah tipis sebanyak 172 undi kepada Barisan Nasional (BN). 

“Jika dijumlahkan undi PAS daripada ketiga-tiga DUN dalam kerusi Parlimen ini menunjukkan PAS mempunyai kelebihan undi sebanyak 688 undi berbanding BN,” ujarnya memperincikan data tiga PRU di tiga DUN iaitu Gunung Semanggol, Selinsing dan Alor Pongsu.

Memorandum tersebut diserahkan beliau kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria sempena Liqa’ Fikri PAS Bagan Serai di Dewan Abdul Wahab Nor, Masjid Tinggi, di sini kelmarin.

Razman pula pada majlis itu menyerahkan sijil penubuhan 17 PAS Cawangan baharu yang telah diluluskan RoS, selain sumbangan bantuan ‘Back to School’ untuk pelajar dalam kalangan keluarga asnaf.

Abdul Aziz turut mengemukakan betapa kekuatan PAS di  dapat dilihat pada beberapa entiti dimiliki di seluruh Parlimen P.058 Bagan Serai antaranya premis PASTI, SRITI, markas operasi dan tarbiyah milik sendiri.

Selain PAS Bagan Serai beritahunya, mempunyai dan membina hubungan dengan ramai pihak dalam Parlimen itu dan paling berpengaruh atas jalinan erat dimiliki serta rangkaian yang ada.

Razman dalam pada itu mengingatkan bahawa kefahaman mesti menjadi asas dalam keterlibatan bersama perjuangan PAS agar matlamat disasarkan dapat dicapai dan menghasilkan keyakinan.

“Sebab itu perjuangan kita ini yang pertama sekali, kita kena faham. Kalau dulu Fathi Yakan dia tulis pasal apa dia masuk Islam, jadi kalau kita hari ini pasal apa kita masuk PAS. Pasal apa kita masuk PAS? Pasal apa kita masuk berjuang ni? Adakah kita berjuang kerana pemimpinnya? 

“Sedangkan banyak lagi parti-parti lain di luar. Umno ada, BERSATU ada PKR dan lain-lain. Adakah sama PAS dengan depa? Mengapa kita dalam PAS? Kita dalam PAS bukan kerana pemimpinnya tapi kerana dasarnya.

“Kerana dasar dan perjuangan yang PAS bawa ini adalah menyambung kerja Nabi SAW dan rujukan kita adalah Al Quran, Sunnah Ijmak dan Qiyas yang menjadi pegangan semua orang Islam,” ujarnya.

Jelasnya, kefahaman, keyakinan dan gerak kerja bersungguh akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk pengorbanan tinggi yang dilakukan dalam usaha merealisasikan matlamat diinginkan.

Beliau memetik antaranya kisah pengorbanan Saidatina Khadijah R.A isteri Rasulullah; seorang hartawan yang mengorbankan seluruh kekayaan membantu perjuangan, bahkan bertekad menyerahkan seluruh jiwa raga demi mencapai destinasi dituju.

“Yang kaya Saidatina Khadijah itu sampai habis seluruh hartanya. Sampai kita tengok hadis nabi tu kata (Khadijah) ‘Aku dah tak ada apa. Kalaulah boleh ambil bila aku meninggal esok, kulit atau tulang aku dan boleh dijual untuk infaq Fisabilillah maka ambillah’.

“Meleleh ayaq mata nabi. Dah habis dah harta. Pasal apa (sanggup habis harta) kerana keyakinan. Nabi tanam keyakinan,” ujar Razman lagi. – HARAKAHDAILY 27/3/2022

- Advertisement -