YB ‘kongo’

- Advertisement -

MENGIKUTI perjalanan Sidang DUN Terengganu yang berakhir semalam, membuatkan hati ini merasa sedikit lega dengan kuntuman kecil senyuman dek kerana beberapa sikap dan juga kenakalan ADUN pembangkang, ketika beraksi di dalam sidang.

- Advertisement -

Apa yang mesti menjadi fokus kepada kita ialah, kelantangan ADUN pembangkang beberapa bulan dahulu berkenaan kegagalan Kerajaan Negeri membawa kemajuan, tidak diterjemahkan dengan bukti dan data-data. Sepatutnya, Sidang DUN adalah tempat yang paling afdhal bagi mereka menghentam barisan Kerajaan Negeri dengan segala butiran-butiran kegagalan itu.

Sewaktu PAS menjadi pembangkang dahulu, pada ghalibnya, kita akan mengetengahkan isu-isu penting berkaitan rakyat sebelum sidang, semasa sidang dan pasca sidang. Menunjukkan bahawa kita benar-benar serius bercakap atas hal yang benar. Malah, terkadang, kita beramai-ramai ke balai polis atau mana-mana agensi penguatkuasa bagi membuat laporan, jika ada kes salah laku.

PAS faham yang Sidang DUN bukan mahkamah untuk menghukum dan ada kekebalannya jika mendedahkan sesuatu. Oleh itu PAS juga berani bercakap hal yang sama ketika ceramah penerangan kepada rakyat, yang mana di tempat awam, imuniti itu sudah tiada. Sebagaimana yang kita maklum, isu-isu seperti Monsun Cup, Taman Ilmu, pembangunan Tasik Kenyir, ada yang tidak kena dalam pengurusannya dan PAS benar dalam pertuduhan itu.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Ahmad Said, sebaliknya memilih untuk melondehkan kain sahabatnya, mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, apabila dalam cubaan beliau untuk menempelak Kerajaan Terengganu sekarang berkenaan wang bantuan Kerajaan Pusat bagi baik pulih Taman Ilmu, sebanyak RM70 juta yang dikata beliau kurang hitungannya sebanyak RM25 juta. Sedangkan bantuan itu diterima pada tahun 2016.

Ini adalah kali ketiga seingat saya, Dato’ Seri Ahmad Said cuba membentes kaki Dato’ Seri Ahmad Razif dalam politik. Pertamanya ketika beliau merajuk teruk, selepas diturunkan dari takhta Menteri Besar oleh Dato’ Seri Najib yang ketika itu Presiden Umno. Beliau keluar Umno dan mengajak dua lagi ADUN Umno untuk turut keluar. Cemas sekejap Umno Terengganu yang ketika itu hanya menang dengan dua kerusi DUN (17-15).

Kedua ialah sewaktu beliau mengamuk dalam DUN, mendedahkan segala hal, bagaimana bermulanya kisah, TIA, 1MDB, iaitu cadangan untuk mencagar telaga minyak Terengganu. Akibat daripada penentangan beliau, Dato’ Seri Najib menurunkan beliau. Mungkin dendamnya masih ada, maka kali ketiga pula ialah mempersoalkan ke mana hilangnya RM25 juta bagi Taman Ilmu itu. PAS tidak diserang, malah rakan sendiri pula terkena.

Kepalsuan Umno dalam membela rakyat, disahihkan apabila pada hari terakhir, hari penggulungan, ADUN Umno, majoritinya tidak hadir mendengar momen yang penting itu. Inilah sepatutnya saat mereka bertanya bertubi-tubi penjelasan daripada pihak kerajaan. Tetapi mereka tiada isu. 

Jelas Kerajaan Negeri telah melakukan yang terbaik kepada rakyat, sehinggakan Umno Terengganu, tidak mampu untuk menimbulkan sebarang isu, kecuali fitnah atau picisan. Paling manis, Kerajaan Pusat pula berhutang dengan Negeri sebanyak RM1.43 bilion.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apa kena mengena dengan tajuk YB kongo ini? Kongo ini bukanlah nama sebuah negara di Afrika seperti yang mungkin ramai eja. Tetapi dalam bahasa Terengganu kongo bermaksud seseorang yang bingung atau bahasa orang muda sebagai ‘blur’. Sebutannya ialah ‘ko’ (dibaca seperti sebutan koperasi) dan ‘ngo’ (dibaca seperti sebutan Selangor). Ia kata sifat.

Dalam keghairahan ADUN-ADUN berdebat dan berbahas, tiba-tiba ada seorang ADUN yang kongo, iaitu ADUN Hulu Besut. YB Dato’ Nawi Mohamad, secara tiba-tiba menuduh Kerajaan PAS Terengganu ini tidak Islam kerana tiada sebuahpun masjid dibina sewaktu pemerintahan PAS. Sedangkan ada di Jabi masjid baru yang dibina. YB Nawi cuba mengulang provokasi cara lama sewaktu BN menjadi pembangkang 1999-2004 dahulu, tidak bina masjid, maknanya bukan Kerajaan Islam, sekali gus menzahirkan ke’kongo’annya.

Untuk rekod, YB Nawi sewaktu menjadi Exco Pertanian dahulu, pernah membuat kempen ‘Jom Menanam’ bagi menggalakkan rakyat bertanam di belakang rumah. Antara tanaman yang dicadang beliau ialah kelapa sawit. Ada sekali apabila ADUN PAS bertanya kepadanya mengenai suatu data, beliau hanya menjawab ‘banyak’. Bila ditanya berapa ‘banyak’ itu, beliau menjawab semula ‘banyak’, tanpa menyebut angka. Kongo-kongo, kena ke dia…

MOHD NASIR ABDULLAH
25 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 25/3/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -