Perdana Menteri rasmi Hari Usahawan Negara 2022

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal merasmikan Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada esok, Sabtu, 26 Mac.

Acara selama lima hari berlangsung dari 24 hingga 28 Mac itu muncul sebagai pusat sehenti maklumat dan ilmu keusahawanan terkini yang diadakan secara percuma tentang cabaran bisnes di era pascapandemik Covid-19.

Majlis perasmian HUN 2022 anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) itu akan turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar. 

- Advertisement -

Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata, HUN 2022 yang bakal dirasmikan esok (26 Mac) oleh Perdana Menteri itu, menjadi himpunan usahawan terbesar melalui 1,000 lot di WTCKL yang disediakan buat usahawan tempatan dan antarabangsa bagi mempamerkan produk masing-masing.

“Ia termasuklah 500 lot agensi kerajaan dan korporat, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan DPUKM; 100 lot selebriti, 120 lot usahawan Cina, lot-lot serambi dari Indonesia, lot-lot koperasi dan 100 lot food court,” ujarnya.

Menurut beliau, bersesuaian dengan tema ‘Usahawan Pemangkin Negara’, penganjuran HUN buat pertama kali di Malaysia adalah sebagai momentum kebangkitan usahawan yang merupakan antara golongan yang terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Noh Omar (tengah) ketika mengunjungi salah satu gerai pameran usahawan di bawah DPKUM sempena majlis pelancaran Aplikasi dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 31 Januari 2022.

Justeru Abu Hassan menegaskan, HUN 2022 bukan sekadar sebagai pusat yang menghimpunkan usahawan dengan hasil produk masing-masing, tetapi ia dianjurkan dengan matlamat yang lebih penting.

“Tujuan HUN 2022 dianjurkan adalah untuk mengukuh dan mengembangkan segala teras sokongan keusahawanan yang telah dan akan disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai agensinya,” jelasnya.

Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor.

Sehubungan itu, katanya lagi, HUN 2022 juga bermatlamat untuk meningkatkan ekonomi usahawan di Malaysia ke peringkat global dan mencetuskan kesedaran masyarakat dalam memilih bidang keusahawanan.

“Maka HUN 2022 telah menyediakan pusat info keusahawanan melalui taklimat pelbagai agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobazaar Online dan Akademi Jana Usahawan.

“Tidak ketinggalan diadakan taklimat mengenai kerjaya, klinik keusahawanan (latihan dan mentor), simposium ekonomi dan keusahawanan, biz forum (peluang pembiayaan bersama Tekun Nasional) dan pocket talk (wawancara ikon usahawan secara langsung).

Produk makanan segar seperti pisang dan jagung menarik perhatian pengunjung pada hari pertama HUN 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur pada 24 Mac 2022.

Abu Hassan berkata, tidak lengkap tanpa aktiviti-aktiviti santai, HUN 2022 turut menampilkan 1,000 peserta car free morning, jokathon 1,000 peserta di Dataran Merdeka dan persembahan 100 artis tanah air.

“Meriahkan hari anda di HUN 2022 dengan acara game show bersama orang ramai dan artis terkenal, persembahan 100 battle of the band, pertunjukan kereta dan motosikal klasik, kereta-kereta mewah, retro klasik, warisan HUN dan hot balloon,” katanya.

Noh Omar (tiga dari kanan) dan Abu Hasan (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Aplikasi dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2022.

Menurutnya, acara kemuncak HUN 2022 adalah malam gala dinner yang diadakan pada 28 Mac ini, bersempena majlis anugerah untuk golongan usahawan.

“Pelbagai peringkat Anugerah Keusahawanan Kebangsaan akan diberikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sebagai sebahagian daripada sambutan HUN 2022.

“Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada usahawan dan pembina ekosistem keusahawanan atas dan ketekunan usaha cemerlang mereka menyumbang ke arah merancakkan kembali sektor ekonomi negara,” ujarnya.

Maklumat lanjut boleh layari https://www.hariusahawannegara.com.my. – HARAKAHDAILY 25/3/2022

- Advertisement -