Judi ‘halal’ berjaya diharamkan Kerajaan Negeri Kedah

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Kedah melakar satu lagi kejayaan apabila pentadbiran negeri menetapkan untuk tidak lagi menyambung lesen perjudian di Kedah dan akan ditamatkan pada 31 Disember 2022.

- Advertisement -

Larangan ini merangkumi semua lesen premis perjudian, iaitu ejen agensi nombor ramalan (NFO) dan kelab persatuan (judi).

Pasti ramai maklum bahawa pengumuman telah dibuat lebih awal iaitu pada November 2021. Namun pelaksanaan dan pengesahan kepada cadangan ini memakan masa kerana Kementerian Kewangan adalah satu-satunya agensi yang meluluskan lesen perjudian.

Kuasa kerajaan negeri pula berkisar kepada kuasa untuk mengeluarkan dasar kepada pihak berkuasa tempatan bagi pengawalan lesen premis perjudian sahaja.

Nasib kurang menyebelahi kerajaan negeri apabila MOF baru sahaja memperbaharui semua lesen yang dipohon oleh operator sebelum pengumuman oleh Menteri Besar Kedah pada 11 November tahun lalu. Maka pelaksanaan tetapan ini tidak dapat dilaksanakan sejurus pengumuman.

Selepas perbincangan bersama MOF. Kerajaan negeri bersetuju supaya lesen perjudian diberhentikan pada 31 Disember 2022.

Kejayaan melarang perbuatan tidak bermoral dan merosakkan masyarakat seperti judi di Kedah bukanlah kali pertama disaksikan. Negeri-negeri lain di bawah pentadbiran PAS seperti Kelantan dan Terengganu telah mendahului dalam usaha mencegah kemungkaran ini.

Mungkin akan ada yang mencebik dengan mengatakan judi secara haram masih berleluasa bahkan mungkin semakin giat setelah pengumuman ini. Namun adakah perkara ini menjadi hujah untuk membiarkan perbuatan seperti judi dihalalkan dan diredai sahaja dengan meletakkan pelekat ‘perniagaan berdaftar’?

Isu perniagaan pasaran gelap adalah isu yang perlu pengurusan khusus berbanding isu perjudian yang boleh menularkan wabak sosial lain. Namun kita yakin usaha dan komitmen Kerajaan Kedah untuk memastikan perjudian haram juga dapat ditegah.

Usaha ini adalah bukti jelas usaha amar makruf nahi munkar yang dibawa PAS bukanlah slogan semata-mata. Namun ia menjadi pemandu utama dalam memastikan perjuangan PAS terus bertenaga dalam arena politik yang penuh gelojak.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 25/3/2022

- Advertisement -