Singapura, Malaysia sepakat teruskan inisiatif laluan perjalanan vaksinasi (VTL) darat, udara

Sebuah bas yang membawa penumpang melintasi Tambak Johor yang menghubungkan Singapura dan Malaysia pada 29 Nov 2021. (FOTO AFP)
- Advertisement -

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk mula berusaha ke arah menyambung semula kebenaran perjalanan udara dan darat sepenuhnya untuk individu yang lengkap vaksin.

Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung yang berada di Kuala Lumpur pada Rabu (23 Mac) untuk lawatan kerja atas jemputan rakan sejawatannya dari Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, perbincangan mereka mengenai laluan perjalanan vaksinasi (VTL) antara kedua-dua negara  telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

- Advertisement -

“Kami bersetuju bahawa Singapura dan Malaysia menikmati hubungan dua hala yang sangat baik dan lama, rakyat kita mempunyai hubungan yang baik, tetapi terganggu oleh pandemik Covid-19,” ujar Ong dalam catatan Facebook miliknya.

“Kami juga bersetuju bahawa situasi Covid-19 telah stabil dan bertambah baik di kedua-dua negara, dan kami kini harus berusaha ke arah penyambungan semula sepenuhnya VTL untuk golongan yang lengkap vaksin,” tambah beliau, menurut laporan CNA.

Menurut Ong lagi, penyambungan semula sepenuhnya perjalanan udara dan darat untuk golongan lengkap vaksin akan membantu membina semula hubungan rakyat di kedua-dua negara yang terganggu angkara pandemik Covid-19.

Singapura pertama kali melancarkan laluan VTL darat dan udara dengan Malaysia pada November tahun lalu, selepas hampir dua tahun pintu masuk antara kedua-dua negara  ditutup akibat wabak virus berkenaan.

Khairy Jamaluddin (kiri) mengadakan pertemuan dengan Ong Ye Kung di Kuala Lumpur pada 23 Mac 2022 (FOTO Twitter Khairy Jamaludin)

Sebelum sekatan sempadan dilaksanakan pada Mac 2020, kira-kira 300,000 rakyat Malaysia berulang alik merentasi sempadan Singapura setiap hari untuk bekerja di situ.

Di bawah VTL darat, pengembara boleh berulang-alik antara Singapura dan Johor Bahru dengan mengambil perkhidmatan bas yang ditetapkan merentasi Tambak Johor.

Di bawah VTL udara pula, terdapat penerbangan yang ditetapkan antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pulau Pinang.

Selepas pertemuan mereka pada Rabu, Khairy menulis dalam tweet miliknya: “Malaysia & Singapura menyambung semula & Membuka Semula (sempadan) dengan selamat.

“Kami bersetuju keadaan telah stabil & kami boleh berusaha segera ke arah penyambungan semula sepenuhnya perjalanan udara & darat untuk golongan yang telah diberi vaksin sepenuhnya.”

Malaysia bakal sepenuhnya membuka semula sempadannya pada 1 April ini apabila ia mula beralih kepada fasa endemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -