LTSIP indikator kemampuan ekonomi rakyat Kelantan?

Kuasa rakyat jadi 'desakan' Kerajaan Pusat realisasikan naik taraf dijanjikan selepas 35 tahun

- Advertisement -

LAPANGAN Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa pada awal minggu ini dilapor telah kembali pulih beroperasi 100 peratus seperti sedia kala sepertimana sebelum pandemik COVID-19 melanda.

- Advertisement -

Bermakna ia kembali sibuk untuk memberi perkhidmatan kepada sekitar 2 juta penumpang setahun, berbanding kapasiti infrastruktur lapangan terbang dengan kod KBR ini sebenarnya adalah untuk mengendali cuma 1.5 juta penumpang.

Ya, sejak beberapa tahun sebelum pandemik lagi, LTSIP telah digunakan oleh lebih 1.5 juta orang setahun dan menjadikannya lapangan terbang domestik kedua tersibuk selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Sebanyak 45 penerbangan domestik pada hari biasa dan lapangan terbang ini melayani sehingga 65 penerbangan pada hari minggu atau cuti perayaan, di mana syarikat-syarikat penerbangan pula sentiasa memohon menambahkan kekerapan pesawat.

Difahamkan kebanyakan penumpang datang dan pergi atas hal ehwal perniagaan, pelancongan, pentadbiran dan juga pengajian yang bererti semua ini bukan lagi menjadi urusan bulanan atau mingguan, tetapi harian. 

Demikian itu, walaupun LTSIP tidak tersohor menjadi sebutan, tetapi sudah memiliki indikator sebagai lapangan terbang yang penting dalam perkhidmatan pengangkutan awam serta penggerak sosioekonomi rakyat terutamanya.

Semarak keusahawanan dalam kalangan masyarakat Kelantan dan minat serta daya tarikan pelancongan yang tinggi ke negeri Cik Siti Wan Kembang meliputi keunikan seni budayanya antara pengaruh tersebut.

Malah, inisiatif membumi yang meningkatkan kemampuan ekonomi rakyat ini turut disuntik melalui program seperti Gaya Hidup dan Kesenian Asli Kelantan (KALA) di bawah usaha Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Kerana itu, walaupun Kelantan dibuli sebagai negeri yang miskin, tetapi rakyatnya tidak melarat, malah mempunyai kuasa beli dan pemilikan peribadi setanding negeri dikatakan berpendapatan. 

Jangan terkejut bila mana ada peniaga makanan misalnya nasi dingin air yang berulang alik secara harian dengan pengangkutan udara dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menjual menu tersebut.

Ianya juga menjadi petunjuk betapa Kelantan dilihat memiliki potensi pelaburan untuk diteroka serta segala peluang berkaitan yang hanya dirasai atau dikecapi dengan hadir sendiri ke negeri ini.

Semua ini seperti tidak diketahui ramai kerana ia sememangnya dipendamkan atas iri hati politik tidak matang yang masih bersarang di benak politikus dan para pendengki Serambi Makkah ini. 

Jika tidak, LTSIP sudah lama dinaik taraf dan dilakukan pembesaran sewajarnya di mana rancangan berkenaan telahpun dikemukakan sejak tahun 1986, namun dihentikan sebaik sahaja rakyat negeri ini memberi mandat kepada PAS pada tahun 1990.

Sejak itu, hasrat berkenaan diperolok-olok dan berdepan seribu ragam birokrasi serta alasan, namun rekod atau pencapaian perkhidmatan di lapangan ini menunjukkan sebaliknya. 

Akhirnya ia menjadi desakan kepada Kerajaan Persekutuan hingga terpaksa beberapa kali menggunakan medan pembentangan Belanjawan dan Rancangan Malaysia untuk menabur gula kempen meraih sokongan. 

Dahulunya diumum peruntukan naik taraf RM900 juta, selepas itu RM450 juta, tetapi akhirnya benar-benar menjadi cuma RM440 juta dengan kerja projek tersebut baharu bermula April 2021 lalu. 

Tidakkah selama itu menunjukkan betapa LTSIP telah dianaktirikan, tetapi kuasa rakyat telah memberi isyarat sangat bermakna untuk memberi pengajaran kepada sang kuasa yang mereka boleh digugah dari singgahsana. 

Naik taraf dan pembesaran yang dijangka siap pada 2024 itu nanti akan menjadikan ia berkeupayaan mengendalikan 4 juta penumpang setahun dengan fasiliti terkini lebih baik dan bertaraf dunia. 

Daripada tiga pintu kepada 12 pintu, sekali gus membolehkan LTSIP menerima lebih banyak pesawat dalam satu-satu masa dan mengorak langkah untuk mendapatkan semula status antarabangsa seperti pernah dimilikinya.

Tidak mustahil ketika KBR kelak akan menjadi hab penerbangan bagi Pantai Timur serta bersama rangkaian perhubungan darat dan laut sedang diadakan, melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Negeri Kelantan. 

Pun begitu, masih banyak rancangan asal naik taraf dan pembesarannya belum direalisasikan pada projek kali ini yang memerlukan pihak berkaitan lebih jujur dan telus untuk keperluan sebenar Kelantan.

Kuasa rakyat jugalah yang dapat memberi ‘pendidikan’ setepatnya kepada ahli-ahli politik dan pentadbiran kerajaan agar mereka bertanggungjawab ke atas kepentingan rakyat dan negara, bukannya mengambil kesempatan atas jawatan.

MUJAHID AMAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -