Apa perkembangan pelaksanaan, operasi 5G

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertanyaan berkaitan perkembangan pelaksanaan dan operasi 5G oleh Digital Nasional Berhad daripada ahli Parlimen PAS disenaraikan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan perkembangan pelaksanaan dan operasi 5G oleh Digital Nasional Berhad memandangkan terdapat pelbagai pandangan dan perdebatan bagi isu tersebut.  

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli pula meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan apakah langkah segera Kementerian dalam menangani konflik antara manusia dengan hidupan liar khususnya harimau kerana kebelakangan ini ‘Pak Belang’ semakin kerap muncul berkeliaran di Dungun.  

- Advertisement -

Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi waktu pertanyaan menteri.

Selain itu, soalan ahli-ahli Parlimen PAS yang disenaraikan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini sebagaimana di bawah.

Wan Hassan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Pertanian Dan Industri Makanan menyatakan sejauh mana pelaksanaan Kempen Jihad Memerangi Orang Tengah dalam urusan jual beli di industri pertanian.

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi [Tumpat] minta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyambung semula perkhidmatan kereta api Ekspres Wau dari Kuala Lumpur terus ke Tumpat tanpa transit ke stesen Gemas terlebih dahulu.

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi [Tumpat] minta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan statistik mengikut negeri jumlah mangsa banjir yang menyertai Program Bantuan Banjir: Rebat Pembelian Peralatan Elektrik dan apakah usaha SEDA menyebarluaskan lagi informasi berkenaan program ini.

Shaharizukirnain Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan rancangan Kerajaan menggubal akta khusus bagi menapis isi kandungan internet di platform media sosial serta penstriman langsung seperti TikTok, Netflix dan Youtube bagi mengelakkan penularan budaya kuning dan softporn dalam masyarakat.

Shaharizukirnain Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan kerosakan dan jumlah kerugian golongan petani dan penternak akibat banjir besar pada penghujung tahun lalu serta jumlah bantuan yang telah disalurkan kepada golongan sasar.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Bachok] minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan usaha dan perancangan Kementerian untuk membantu pengusaha bot laut dalam persendirian yang terkesan dengan pandemik Covid-19 khususnya rayuan penangguhan pelaksanaan PLKS. – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -