Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Tindakan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen lebih awal adalah tindakan yang tidak munasabah.
Menurut Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, peratusan keluar mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor (54.92 peratus) serta PRN Melaka (65.85 peratus) adalah bukti rakyat protes dan tidak bersama dengan langkah rakus, pentingkan diri serta tidak bertanggungjawab ini.
Katanya, sepatutnya kini segala minda dan perbuatan kerajaan perlu difokuskan kepada kesejahteraaan rakyat.
“Malaysia kini berada dalam keadaan yang stabil berdasarkan rekod Perdagangan Malaysia bagi tahun lalu yang mencatatkan rekod terbaik dalam sejarah dengan pencapaian melebihi RM2 trilion serta nilai eksport sebanyak RM1.24 trilion.
“Ini adalah indikator yang sangat jelas, selain sasaran eksport negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak RM1.25 trilion menjelang tahun 2025 telah berjaya dicapai empat tahun lebih awal daripada perancangan asal.
“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan nilai pelaburan bagi tahun lalu adalah sebanyak RM220.8 bilion dengan peluang pekerjaan bagi bakat-bakat tempatan sebanyak 80,000 kekosongan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Titah Diraja, di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, beliau percaya, gagasan politik Demokrasi Bermusyawarah yang dititahkan Yang Dipertuan Agong serta kerjasama dwi-partisan antara kerajaan dan pembangkang mesti diteruskan dan dilanjutkan sehingga ke tahun hadapan.
Katanya, gesaan ini supaya negara kita yang sedang berada di landasan pemulihan yang tepat dapat dipacu ke arah ekonomi yang lebih makmur dan berkat.
Selain itu kata Khairil Nizam, negara juga memerlukan kestabilan politik dalam berdepan fasa peralihan antara fasa pandemik kepada endemik.
Menurutnya, kestabilan politik bukan bererti mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) terlalu awal atau melakukan Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa sebab yang munasabah.
Jelasnya, sebanyak RM141 juta dilaburkan untuk melaksanakan PRN Melaka dan Johor yang secara kasarnya jika laburkan ditempat tertentu, kerajaan boleh mewujudkan pelbagai infrastuktur.
“Contohnya Termeloh, kita boleh mewujudkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Pendidikan dan Latihan Vokasional-Tahfiz, dan Maktab Rendah Sains Mara, berbanding melaburkannya dan mengenjak kepada tarikh pilihan raya sebenar, iaitu pada tamat tempohnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2022