RM12.7 bilion biayai Program Subsidi Upah

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM12.7 bilion daripada perbelanjaan tambahan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) berjumlah RM45 bilion digunakan untuk menampung peruntukan tambahan Program Subsidi Upah (PSU).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata tambahan itu menjadikan peruntukan untuk PSU bertambah dari RM18.3 bilion kepada RM31 bilion melalui Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan ekonomi, iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA + dan PEMULIH.

- Advertisement -

Pada tahun 2021, katanya kerajaan memperuntukkan sebanyak RM8.01 bilion untuk PSU3.0 dan PSU4.0, manakala bagi PSU1.0 dan PSU2.0 pada tahun 2020 menerima peruntukan sebanyak RM15.3 bilion.

“Kerajaan dalam Bajet 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi melaksana dan melanjutkan PSU5.0 atau Program SIP Subsidi Upah Bersasar.

“PSU5.0 pula adalah khusus sasaran untuk sektor pelancongan yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya menjawab soalan lisan Senator Datuk Bobbey Suan di Dewan Negara, hari ini.

Awang berkata, pada 11 Oktober 2021, Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 Covid-19) (Pindaan) diluluskan.

Katanya, pindaan itu untuk meningkatkan peruntukan di bawah dana KWC sebanyak RM45 bilion, iaitu daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

“Pindaan ini bagi membiayai perbelanjaan tambahan KWC-19 yang berjumlah RM45 bilion untuk membiayai pakej bantuan pelbagai program memerangi wabak itu sejak awal tahun 2021 serta projek Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/22

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!