Program URUS kurangkan beban peminjam golongan B50

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta industri perbankan memperkenalkan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) khusus untuk membantu peminjam daripada golongan kumpulan pendapatan 50 peratus terbawah (B50).

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata ini berikutan golongan berkenaan dengan pendapatan isi rumah sehingga 5,880 ringgit sebulan, mungkin memerlukan bantuan selanjutnya selepas bantuan bayaran balik di bawah Pogram PEMULIH berakhir.

- Advertisement -

“Walaupun sektor ekonomi telah dibuka semula secara beransur-ansur mulai Ogos tahun lalu, terdapat segelintir peminjam yang memerlukan tempoh masa lebih lama untuk memulihkan semula kedudukan kewangan mereka,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Dato’ Ahmad Yahaya yang meminta Menteri Kewangan menyatakan penglibatan golongan B50 dalam Program URUS sejak diperkenalkan pada Oktober tahun lalu.

Yamani Hafez berkata, di bawah program URUS, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan pengurangan dari segi ansuran pinjaman sehingga 24 bulan.

Selain itu, katanya peminjam menerima nasihat pengurusan kewangan yang boleh meningkatkan daya tahan kewangan mereka untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, seramai 2.7 juta peminjam individu mendapat manfaat daripada bantuan bayaran balik pinjaman bagi tempoh antara 1 Jun hingga akhir Disember tahun lalu, manakala bagi program URUS, sebanyak 6,336 permohonan diluluskan setakat 18 Mac lalu. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -