Lapan negeri lagi bukan dikuasai Umno

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

PADA 13 September 2021 PH bersetuju Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai 2022. Ia sebagai usaha mencapai kestabilan politik bagi memerangi pandemik Covid-19.

Kenyataan itu diluahkan Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH Anthony Loke. Katanya tidak wujud keperluan untuk mengadakan PRU secara mengejut.

Kata beliau kerajaan perlu fokus usaha memerangi Covid-19.

MoU yang ditandatangani kerajaan dan PH bertujuan bagi mengembalikan kestabilan politik. Elemen penting dalam persefahaman iaitu kerjasama kerajaan memberi aku janji Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.

- Advertisement -

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan. Kerajaan kemudian bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Itu naratif yang berlaku ketika dalam keadaan terdesak. Menjelang persidangan Parlimen bagi membentang belanjawan. Namun, selepas Bajet 2022 lulus, lihat apa yang berlaku sekarang.

Perdana Menteri tiba-tiba seakan berubah nada. Ismail Sabri dilapor memberi jaminan keputusan membubarkan parlimen akan dibincang bersama pucuk pimpinan Umno.

“Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar itu akan dibincang dengan top five parti,” katanya pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lepas.

Umno mahu mengulangi apa yang berlaku di Johor. Menteri besar ketika itu dikatakan tidak membincangkan cadangan pembubaran Dun bersama jemaah Exco.

Apa sudah jadi dengan MB Johor selepas itu. Hari ini Hasni Mohamad yang memohon membubar Dun Johor, bukan lagi menteri besar. Tempatnya diganti Onn Hafiz Ghazi.

Apakah episod serupa akan menimpa Ismail. Ramai melihat sekiranya Umno ditakdirkan menguasai majoriti dua pertiga di parlimen pada PRU15, Ismail bukan lagi perdana menteri. Itu semakin jelas.

Lihat kenyataan Timbalan Presiden Umno. Mohamad Hassan secara jelas menyebut Perhimpunan Agung Umno (PAU) bersetuju menangguh pemilihan selama enam bulan selepas PRU15.

“Saya minta perdana menteri tolong perhatikan sedikit jika kita tulis surat kepada RoS, jangan pula nanti ada orang yang menghalang keputusan parti kerana menterinya bukan daripada Umno,” kata Mohamad.

Malang sungguh. Selepas berjaya monopoli kuasa di Johor dan Melaka, tiba-tiba Umno seperti melupakan segala-galanya.

Biarpun presidennya Zahid Hamidi mendakwa tidak mahu campur urusan perdana menteri, namun di sebalik tabir Umno terus mendesak parlimen dibubarkan. Ia dilagukan di PAU.

Kata Zahid di PAU Jumaat lepas, suara akar umbi Umno mahu parlimen dibubarkan segera. Benarkah begitu.

Umno juga seperti tidak sedar sekarang sekadar menguasai empat negeri secara mutlak. Perak biarpun menteri besar dari Umno, namun masih kerajaan PN.

Sedangkan lapan negeri lagi bukan dikuasai Umno. PAS menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah. GRS pula mengetuai kerajaan di Sabah.

PH masih mendominasi Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Manakala parti yang menguasai Sarawak keluar BN pada 13 Jun 2018.

Adakah dengan menguasai empat negeri menggambarkan parti itu sudah cukup kuat. Tentunya tidak.

Umno juga kena tengok kuasa siapa sebenarnya bertanggungjawab membubarkan parlimen. Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa membubar Parlimen di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Seorang peguam berhujah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat jemaah menteri dan bukannya perdana menteri.

Kata Ab Jalil Backer tidak terkandung dalam Perkara 40 memberi kuasa PM bertindak secara bersendirian menasihat Yang di-Pertuan Agong. Ternyata Umno tidak mengambil pedoman yang berlaku di Johor.

‘Game’ baharu nampaknya cuba dicetus lagi. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -