Inisiatif Laluan Makkah: Lebih 277,000 jemaah haji raih manfaat

- Advertisement -

JEDDAH: Lebih 277,000 jemaah haji dari lima negara termasuk Malaysia telah mendapat manfaat daripada inisiatif Laluan Makkah yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaannya.

Ketua Pengarah Pasport (Jawazat) Saudi, Lt. Jen Suleiman Al-Yahya berkata, inisiatif itu berjaya hasil usaha gabungan beberapa kementerian yang diketuai Kementerian Dalam Negeri negara itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah, anjuran Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Program Doyof Al-Rahman, di sini pada Isnin (21 Mac).

- Advertisement -

Menurutnya, inisiatif itu memainkan peranan penting dalam memanjangkan perkhidmatan dan kemudahan terbaik untuk jemaah haji.

Terdahalu, Saudi melancarkan Inisiatif Laluan Makkah, yang mana Pembuktian Konsep (POC) pra-pelepasan imigresen untuk jemaah haji akan dilakukan di tempat-tempat berlepas dari negara masing-masing.

Jemaah haji dari  Malaysia dan Indonesia merupakan penerima  fasa pertama inisiatif berkenaan apabila ia mula dilaksanakan pada tahun 2018.

Jemaah haji dari Pakistan, Bangladesh dan Tunisia turut mendapat manfaat daripada inisiatif itu dalam fasa kedua semasa musim haji 2019 sebelum penggantungan haji untuk jemaah asing pada tahun 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19.

Sistem pra-pelepasan membolehkan pemeriksaan imigresen di negara asal  jemaah haji pada masa berlepas, bukannya semasa tiba di Saudi. Kemudahan itu mengurangkan masa menunggu bagi jemaah haji di lapangan terbang Saudi dengan ketara semasa ketibaan mereka di negara yang menempatkan Dua Masjid Suci itu. – Saudi Gazette.

- Advertisement -