Buat aduan jika lewat terima Skim Bencana Kerja PERKESO

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan proses permohonan Skim Bencana Kerja PERKESO dapat diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

- Advertisement -

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan serta merta membuat semakan dan siasatan setelah menerima dokumen dan laporan mengenai kes jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

“Kita akan buat semakan dan siasatan adakah aduan ini betul dan dalam masa tujuh hari proses ini akan berjalan, sekiranya kalau ada aduan sesuatu kes yang spesifik yang melibatkan dua atau tiga bulan, mungkin dokumen tidak cukup.

“Kalau semua dokumen cukup, tetapi lambat juga boleh buat aduan terus kepada kita, kita akan ambil tindakan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz di Dewan Negara, hari ini.

Tambah Awang, jika dokumen yang diserahkan lengkap, pembayaran Skim Bencana Kerja PERKESO dan tindakan perlindungan akan dibuat serta merta.

Pencarum PERKESO yang dijangkiti Covid-19 akibat dari aktiviti pekerjaan layak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan yang menyediakan faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat, pendidikan, elaun layanan sentiasa, dan kemudahan pemulihan. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -