Sultan Mizan syor kerajaan laksana kajian impak

Ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang bakal menyebabkan banyak negara terkesan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengesyorkan kerajaan negeri melaksanakan satu kajian impak ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang bakal menyebabkan banyak negara terkesan, khasnya negara-negara membangun seperti Malaysia.

- Advertisement -

Baginda bertitah peperangan antara Rusia dan Ukraine akan mendatangkan impak yang sangat teruk kepada ekonomi dunia termasuk menyebabkan harga komoditi di pasaran dunia seperti bahan api, dan bahan makanan meningkat, yang seterusnya mendatangkan kesan langsung kepada harga bahan makanan tempatan.

Justeru baginda bertitah kajian impak perlu menghasilkan cadangan-cadangan khusus bagi mengurangkan impak langsung ke atas isi rumah yang berpendapatan rendah B40 dan berpendapatan sederhana M40.

“Kedua-dua golongan ini sudah pun terkesan dan terbeban dengan harga barangan khasnya makanan yang meningkat dan kesan sampingan ke atas punca pendapatan ekoran penularan wabak COVID-19.

“Misalnya, data terkini merekodkan terdapat 985 orang golongan miskin tegar dan 26,526 orang golongan miskin di Terengganu yang memerlukan perhatian daripada semua pihak,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu Sultan Mizan turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini COVID-19 yang terus menunjukkan trend peningkatan sejak penularan varian Omicron.

“Oleh itu, Beta menyeru pihak kerajaan dan rakyat di negeri ini untuk terus meningkatkan amalan penjagaan kebersihan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” titah baginda.

Baginda seterusnya menzahirkan rasa dukacita atas musibah yang melanda mangsa banjir luar biasa yang berlaku akhir bulan lepas terutama di Hulu Terengganu dan Kemaman, sehingga mengakibatkan kepayahan dan kerugian harta benda terhadap mereka.

“Di masa yang sama Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang telah bertungkus lumus menyelamat, membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa banjir tersebut,” titahnya. – BERNAMA

- Advertisement -