Jadikan garis panduan filem, drama JAKIM syarat pelesenan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu dijadikan sebagai syarat-syarat pelesanan utama dalam bidang penyiaran.

Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, cadangan itu bagi memastikan drama atau filem yang dihasilkan berada dalam piawaian undang-undang Islam dan menepati budaya Malaysia.

- Advertisement -

“Saya mencadangkan pembinaan karakter karya seni perlu mengambil kira hukum feqah yang berkaitan dengan kandungan teks, watak, lokasi drama filem tersebut, sesuai dengan batas-batas syarak dan adat ketimuran budaya Malaysia sebagai sebuah negara majoriti muslim dan Islam pula sebagai agama persekutuan.

“Saya juga mencadangkan supaya garis panduan penapisan kandungan bahan-bahan penyiaran berunsur islam disediakan oleh JAKIM, dijadikan sebagai syarat pelesanan utama K-KOMM kepada stesen televisyen, radio, penerbit filem atau drama, iklan dan lain-lain,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) berkata demikian semasa membahaskan Usul Menjujung Kasih Ke Atas Titah Diaraja, di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad juga mencadangkan supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menguatkuasakan garis panduan tersebut sebagai asas rujukan kepada agensi bertanggungjawab dalam penguatkuasaan kawalan kandungan multimedia.

Beliau juga meminta penjelasan berhubung nilai sebenar yang ingin diterapkan dalam penghasilan filem atau drama yang memaparkan elemen ganas, khurafat, skandal, penceritaan berlebihan yang bertentangan dengan undang-undang Islam dan budaya Malaysia.

“Banyak drama televisyen tempatan yang dilihat kurang memberi nilai positif terhadap pemikiran, pendidikan dan pembinaan sahsiah masyarakat.

“Situasi ini didorong oleh sebahagian stesen televisyen, penerbit, penulis skrip dan pengarah filem atau drama yang mengikut rentak pasaran semata-mata, apa sebenar nilai yang ingin kita terapkan dalam penghasilan filem?” katanya.

Terdahulu, kecoh apabila seorang pelakon lelaki terkenal tempatan membuat hantaran sebuah video memaparkan adegan tidak senonoh bersama pelakon wanita di platform media sosialnya.

Berikutan hantaran tersebut, ramai pengguna media sosial mengecam tindakan itu dan menganggap ia satu strategi pemasaran yang keterlaluan. – HARAKAHDAILY 21/3/2022