Drama Malaysia perlu anjakan paradigma

- Advertisement -

ERMA Fatima pernah berlakon dalam sebuah filem berjudul Rozana Cinta 87 bersama Bibiana Layola. Watak yang dimainkan mereka ialah sebagai pasangan Lesbian

Filem ini telah mendapat kritikan kerana ketidak sesuaian jalan cerita yang mungkin akan mempengaruhi penonton terutama golongan remaja. 

- Advertisement -

Tidak hanya filem itu, banyak lagi cubaan memasukkan unsur-unsur yang di luar kehendak agama atau budaya kepada jalan cerita di Malaysia, sentiasa mendapat tentangan.

Antaranya lagi tentangan terhadap Ramona Rahman yang melakonkan adegan ghairah dalam satu persembahan pentas arahan Dato’ Faridah Merican awal 90-an dahulu. Alhamdulillah rakyat Malaysia begitu prihatin dalam isu-isu sebegini.

Sehingga kini filem-filem di Malaysia masih dikira masih selamat daripada diracuni dengan perkara-perkara yang lebih teruk, walaupun yang ada sudah dikira agak teruk. Tetapi ia masih jauh lebih baik berbanding negara-negara jiran.

Syukur kepada Allah, Erma Fatima sekarang sudah bertudung. Memang ramai artis-artis Malaysia sekarang sudah kelihatan insaf dan ingin menjalani kehidupan seperti yang sepatutnya.

Akan tetapi, keperluan memahami kehendak Islam, perlu diterapkan kepada mereka, bukan hanya perubahan pakaian. Perubahan kepada praktis kehidupan juga, mesti semakin baik. Apatah lagi mereka adalah ‘public figure‘, yang boleh mempengaruhi orang lain.

Paling ditakuti, walaupun artis-artis ini salah dalam pemahaman agama, mereka tetap mendapat sokongan daripada peminat mereka yang jahil. Tambah lagi di zaman ‘netizen always right‘. Tidak kira ulamak atau siapa. Yang lawan mereka, siaplah kena kecam.

PAS menerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, di bawah Pengerusinya, Dr Ustaz Riduan Mohd Nor, sentiasa menggerakkan program-program bagi memberi kefahaman agama kepada artis-artis ini, memandangkan mereka juga adalah golongan yang penting dan patut dijadikan rakan dakwah.

Satu kejayaan besar kepada PAS melalui lajnah ini yang telah berjaya menganjak paradigma artis-artis yang dahulunya amat fobia dengan kewujudan PAS. Bagi mereka dahulu PAS adalah penghalang kerjaya seni mereka. Kini tidak lagi.

Bagi artis yang sudah faham hasil dari tarbiyah PAS, alhamdulillah, mereka malah, boleh menghafal ayat-ayat al-Quran, dek kerana kesungguhan mereka selepas berubah. Mereka juga menjaga penampilan mereka secara tidak langsung mengajak semua peminat mereka turut berubah. Inilah yang kita mahukan.

Kita mengharapkan Erma Fatima akan lebih peka dengan kerisauan rakyat untuk hal sebegini dalam menghasilkan karya seni. Kita saling membantu membina masyarakat yang lebih bermaruah. Anda melalui seni dan yang lain melalui cabang masing-masing.

Sanggupkah ia menjadi tayangan di bulan Ramadan ini? Ketika orang mengutip pahala berganda atas keberkatan Ramadan, jangan pula kita mencari dosa berganda.

Kenapa saya tekankan kepada Erma berbanding Zul Arifin? Kerana orang lelaki akan anggap adegan sebegini sebagai ‘peluang’. Kalau tidak, masakan dia sanggup berkongsi babak itu di media sosial.

Manakala Erma pula ialah seorang wanita dan beliau sebagai pihak yang membuka peluang kepada orang lain untuk menikmati adegan itu, atas kaum sejenisnya. Ia ibarat seperti akar. Jadi kita berharap untuk peluang itu ditutup, maka kita matikan akar itu.

Atau adakah masyarakat kita akan dibudayakan dengan tular-tular yang bodoh, jahat, menghina, lucah dan sebagainya untuk mereka menjadi ruangan iklan percuma dan mendapat untung?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 21/3/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -