80 peratus isi kandung MoU kerajaan-PH dilaksana

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Pemimpin DAP diingat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur hasutan kepada rakyat terutama melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU, Tan Sri Annuar Musa berkata, sehingga kini hampir 80 peratus isi kandung MoU itu telah dan sedang dilaksanakan.

Katanya, persefahaman terbabit berdasarkan komitmen dan keikhlasan kedua-dua pihak.

- Advertisement -

“Mana-mana parti tidak tunduk pada mana-mana ugutan yang cuba dimainkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 150 penduduk Kampung Serungga Repek di sini hari ini.

Semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilapor mahu menamatkan MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob diingatkan tidak ‘tunduk’ dengan segala ugutan daripada mana-mana parti politik.

Menurutnya juga Guan Eng perlu faham RUU Anti Lompat Parti tidak boleh diubah sembarangan memandangkan ia memerlukan sokongan dua pertiga di parlimen.

“Begitu juga cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti yang belum dilaksanakan dalam proses ke arah itu,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilapor berkata rang undang-undang Anti Lompat Parti akan dibentangkan di Dewan Rakyat hanya selepas pandangan semua pihak terlibat diperolehi.

MoU persefahaman politik terbabit ditandatangani September lepas antara perdana menteri dan pemimpin-pemimpin PH, di mana mereka sepakat Parlimen tidak akan dibubarkan setidak-tidaknya sebelum 21 Julai 2022. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -