
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Bekas pesakit Covid-19 disaran mendapatkan suntikan pelalian vaksin influenza selepas setahun dijangkiti virus itu di fasiliti kesihatan di seluruh negara bagi mengelakkan jangkitan virus lain yang boleh membawa maut.
Pengamal perubatan, Dr Najihatussalehah Ahmad, berkata mereka yang mengalami komplikasi akibat jangkitan Covid-19 telah berlaku kecederaan atau parut pada tisu paru-paru mereka.
Katanya, situasi itu mengakibatkan berlakunya keradangan pada paru-paru (prognosis pneumonia) akibat serangan virus yang menyebabkan keupayaan pengudaraan sistem tersebut menurun.
Oleh itu, beliau menyarankan bekas pesakit Covid-19 sentiasa menitikberatkan penjagaan kesihatan khususnya dalam pengambilan diet pemakanan seharian.
“Pada pandangan saya, mereka perlu meneruskan penjagaan kesihatan, mengambil makanan yang seimbang.
“Bekas pesakit Covid-19 juga perlu belajar membuat latihan untuk menguatkan paru-paru.
“Mereka perlu mengurangkan aktiviti berat seperti sukan-sukan aerobik yang banyak menggunakan oksigen maksimum dalam paru-paru, mereka digalakkan melakukan aktiviti ringan seperti berjalan,” sarannya kepada survivor Covid-19.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar melakukan pemeriksaan berkala dengan doktor atau klinik berhampiran.
“Selalunya kita dah ada family doctor sendiri, jadi saya nasihatkan mereka mestilah follow up dengan doktor mereka, tiga bulan sekali, tengok kepada tahap serius long Covid mereka,” ujarnya kepada Harakahdaiky semasa dihubungi hari ini.
Bagi menjalani rutin harian seperti biasa, beliau juga menyarankan agar bekas pesakit Covid-19 ini mengelakkan diri berada di kawasan sesak, sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.
Selain itu, pemakaian pelitup muka perlu diteruskan dan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman sekiranya berada di tempat orang ramai. – HARAKAHDAILY 18/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!