Ketetapan JAWI: Lebih bersemangat imarah masjid, surau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketetapan terkini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sewajarnya menjadikan umat Islam lebih bersemangat mengimarahkan masjid dan surau.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata pihaknya menyokong dan merakamkan ucapan terima kasih atas ketetapan terkini yang telah diumumkan oleh JAWI bagi pengimarahan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, semalam.

- Advertisement -

Antara ketetapan baharu yang bakal berkuat kuasa pada 1 April ini merangkumi solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal, kehadiran bagi yang telah divaksinasi tanpa had umur, kebenaran untuk melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail, tadarus dan majlis berbuka puasa sempena bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Pengumuman tersebut semestinya suatu berita gembira buat umat Islam di negara ini yang telah lama merindui kemeriahan masjid dan surau terutamanya dalam bulan Ramadan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, ujar beliau pihaknya menyeru warga Wilayah Persekutuan untuk lebih bersemangat mengimarahkan masjid dan surau di samping terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Semalam, Pengarah JAWI, Dato’ Mohd Ajib Ismail memaklumkan jabatan itu membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April ini di mana ahli-ahli jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Katanya, kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur bagi mereka yang telah menerima vaksinasi Covid-19.

“Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat pada Ramadan ini. Program qiamullail hyga dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam.

“Begitu juga majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan diadakan di masjid dan surau. Makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2022

- Advertisement -