Keperluan pemuda memahami politik Islam

- Advertisement -

MENELITI prestasi beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuklah PRN Johor yang baharu sahaja selesai 12 Mac baru-baru ini, peratusan keluar mengundi yang dicatatkan rendah menunjukkan bahawa masih ada unsur kelesuan rakyat di dalam berpolitik di samping keadaan sesetengah rakyat negeri tersebut yang terhalang untuk keluar mengundi akibat dijangkiti wabak Covid-19.

Jika diamati peratusan PRN Johor yang mencatatkan hanya 54.92 peratus, secara tidak langsung telah memberi gambaran kasar bahawa masih ramai dalam kalangan rakyat terutama golongan belia dan anak muda yang terumbang-ambing dan tidak yakin dalam melihat kepentingan mengadakan perubahan politik, sesuai dengan peranan politik sebagai peneraju utama aspirasi masyarakat sesebuah negara.

- Advertisement -

Percaya atau tidak, inilah realiti sebahagian rakyat khususnya golongan belia pada masa kini; negara sudah kekurangan pemuda yang memiliki wawasan dan idealisme untuk menentukan arah perjuangan politik di atas paksi yang betul. Masa depan agama dan bangsa sudah tidak lagi menjadi keutamaan pemuda, bahkan kemelut pentadbiran kini telah berjaya merubah tanggapan politik menjadi sesuatu yang ‘kotor’ dan hanya berputar di takuk perebutan kuasa, yang akhirnya membawa kepada kitaran pentadbiran yang sama.

Menjadikan praktik politik demokrasi semata-mata sebagai solusi permasalahan sesebuah negeri mahupun negara, adalah suatu hal yang sia-sia. Ternyata melalui demokrasi sahaja tidak mampu memberikan impak yang besar bagi tujuan mempertahankan kedaulatan agama dan bangsa, melainkan hanya pertukaran parti dan kerajaan semata-mata. Maka penyelesaian yang sebenarnya bukanlah melalui demokrasi, kerana demokrasi hanyalah suatu sistem bukan solusi.

Sekiranya demokrasi dilaksanakan dalam keadaan golongan belia dan anak muda masih kurang faham akan politik, akan semakin kuatlah hegemoni serta dominasi golongan kapitalis di dalam menentukan peranan pemuda, sedangkan pemudalah yang sepatutnya menentukan masa depan negara. Golongan pemuda terutamanya yang beragama Islam seharusnya menjadi ‘front-liner’ di dalam arus perjuangan politik tanah air.

Oleh sebab itulah generasi muda Islam perlu mengenali dan memahami politik Islam, tidak cukup sekadar berpolitik sahaja. Politik yang tidak diselarikan dengan syariat Islam dan hanya berlandaskan sistem demokrasi kapitalis, akan menatijahkan asas manfaat sebagai keutamaan sesebuah kerajaan, sedangkan politik hanya dijadikan jalan untuk mempertahankan kekuasaan demi mendapatkan keuntungan semata-mata, berbeza dengan sistem pentadbiran Islam yang selaras mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah berkenaan setiap urusan, meliputi masyarakat Islam dan bukan Islam.

Allah SWT berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 89 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan memberi petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi orang-orang yang berserah diri.”

Di dalam Islam, politik dikenali dengan istilah “siyasah”, yang bermaksud ‘mengatur urusan, memperbaiki dan mendidik masyarakat baik di dalam urusan peribadi sehinggalah urusan pemerintahan dan hal-hal kenegaraan. Islam dan politik bagaikan dua sisi mata wang yang tidak mampu dipisahkan. Imam Al-Ghazali menyebut di dalam kitab karangan beliau ‘Al-Iqtisad fi al-I’tiqad’, “negara dan agama adalah saudara kembar, di mana agama menjadi dasar, sedangkan negara merupakan penjaganya. Runtuhlah sesuatu yang adanya tanpa dasar, dan hilanglah dasar sekiranya tidak ada yang menjaganya”.

Demikianlah mulianya martabat politik di sisi Islam. Islam merupakan agama yang sangat memahami keutamaan dan kepentingan berpolitik. Namun tidaklah Islam mementingkan umatnya berpolitik demi mendapatkan kekuasaan, kedudukan apalagi kekayaan, akan tetapi Islam meletakkan Siyasah Syar’iyah sebagai suatu sarana bagi merealisasikan matlamat yang lebih agung dan lebih tinggi yakni supaya tertegaknya syiar Islam di muka bumi ini.

Justeru di sinilah pentingnya pemuda, golongan dengan ketahanan, kekuatan dan daya upaya mental serta fizikal yang tinggi untuk memahami politik Islam sehingga teguh di dalam berpolitik secara telus dan penuh integriti, bertanggungjawab menunaikan hak tanpa mengira posisi; selaku pemimpin atau rakyat, sebagai penerus kepada kepimpinan Islam terdahulu yang tidak putus memperjuangkan syariat Islam. – HARAKAHDAILY 18/3/2022

Penulis ialah Timbalan Ketua Politik SiswaPAS.

- Advertisement -