Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
TUMPAT: Stesen Mek Awey yang diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu golongan belia menceburi bidang perniagaan ternyata berjaya mewujudkan kerjaya baharu untuk mereka.
Sehingga sekarang dua Stesen Mek Awey diwujudkan iaitu di Dun Kelaboran Tumpat dan Dun Pulai Chondong, Machang.
Penyelia Stesen Mek Awang Mohd al Amin Awang @ Mat Salleh berkata, sambutan penduduk terhadap stesen tersebut begitu memberangsangkan.
Katanya, premis perniagaan stail food court itu beroperasi tujuh jam sehari yang bermula jam 5 petang sehingga tengah malam.
“Purata pengunjung setiap malam sehingga 80 orang. Kebanyakan pelanggan tidak makan di sini disebabkan musim wabak Covid sekarang, mereka lebih suka bungkus,” katanya ketika ditemui di sini.
Stesen Mek Awey tersebut terletak bersebelahan IR Mart, Taman Warisan SPP Kampung Berangan, dirasmikan anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat akhir tahun lepas.
Menurut Mohd al Amin hasrat kerajaan negeri melalui Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) mahu mewujudkan Stesen Mek Awey di setiap jajahan.
Kata beliau juga U-Bes komited membantu belia yang berminat menceburi bidang perniagaan makanan dibantu untuk berniaga di lokasi terbabit.
Stesen Mek Awey berkonsep perniagaan secara kiosk makanan seperti satay, burger, ayam gunting, takoyaki, nasi sup dan pelbagai lagi.
Manakala Stesen Mek Awey di Batu 30 Pulai Chondong terletak di laluan utama Machang-Kota Bharu. Stesen tersebut memperkenalkan konsep tradisional dengan dilengkapi peralatan antik.
Batang balak yang dikerat leper dijadikan meja panjang bagi kemudahan pengunjung. Selain itu pengunjung juga berpeluang makan secara bersila di wakaf disediakan. – HARAKAHDAILY 17/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!