Saran pemilik tukar ladang terbuka kepada ladang moden

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Kerajaan negeri meminta pemilik ladang ayam di Perak supaya tidak bersikap tunggu dan lihat untuk menukar ladang terbuka kepada ladang moden.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata langkah itu perlu, bagi memastikan ladang ayam tidak menimbulkan kesulitan kacau ganggu seperti lalat kepada penduduk.

- Advertisement -

“Kita tak mahu apabila pengusaha tidak membuat apa-apa tindakan dan apabila sampai 2024 perkara ini tidak berjalan dan minta tempoh lagi. Ini tidak akan menyelesaikan masalah kacau ganggu lalat ,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke dua ladang ayam di Kubu Gajah, Selama dan Changkat Lobak, Bagan Serai hari ini.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata kerajaan negeri, akan meningkatkan penguatkuasaan dengan mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengambil tindakan terhadap ladang ayam, bagi memastikan ladang mereka bersih daripada lalat.

Katanya tindakan yang dikenakan pada masa ini ialah mengenakan denda sebanyak RM2,000 mengikut Enakmen Perladangan Unggas 2005, dan kerajaan negeri sedang dalam proses menyiapkan draf enakmen baharu untuk dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa akan datang.

“Bagaimanapun pada persidangan DUN 28 Mac ini, draf itu tidak sempat untuk dibentangkan kerana ia sedang dalam proses untuk diterjemahkan enakmen dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Menurut Razman kadar denda akan dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM20,000 melalui enakmen baharu itu.

Tahun lepas, kerajaan negeri menyasarkan kesemua ladang ternakan ayam di Perak beralih kepada sistem tertutup dalam tempoh tiga tahun, bagi mengurangkan kacau ganggu terutama masalah lalat dikatakan berpunca daripada reban ayam yang menggunakan kaedah terbuka.

Sementara itu, tinjauan mendapati seramai 1,000 orang penduduk membabitkan 600 buah rumah di Changkat Lobak, menghadapi masalah lalat daripada beberapa buah ladang di sini sejak lebih 20 tahun lalu.

Seorang Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Changkat Lobak Mohd Ridzuan Zulkifli, 33, berkata ancaman lalat berpunca dari ladang terbuka yang diusahakan beberapa pengusaha.

“Masalah lalat  mengganggu apabila hendak makan nasi, lalat sentiasa hinggap pada makanan,” katanya.

Beliau berkata lebih memalukan apabila orang luar berkunjung ke rumah penduduk di sini, merasa jijik apabila melihat lalat menghurungi kawasan rumah. – HARAKAHDAILY 17/3/2022

- Advertisement -