APA beza perjalanan politik Islam dan selainnya? Beza paling ketara hanya satu. Politik Islam ada matlamat dan hala tuju. Ia tidak berubah kerana kiblat selamanya kekal begitu. Dari mula ia melangkah, hingga berakhir perjalanan dunia, ia kekal istiqamah.
Ramai yang tidak memahami perjalanan ini. Ramai yang merasa hairan melihat perjuangan ini. Penumpang bahteranya boleh gembira setelah dilambung ombak ganas. Penumpangnya tersenyum puas setelah ombak berulangkali menghempas.
PAS bukan sebuah parti politik yang lahir kerana menuntut kemerdekaan. PAS bukan parti politik yang lahir kerana kejahatan Umno. PAS lahir sebagai mata rantai perjuangan Islam di Tanah Melayu.
Kerana itu Perlembagaan PAS jelas memahat paksi itu. Perlembagaan PAS jua jelas menyebut bagaimana parti ini bergerak. Siapa jurumudi dan kelasi serta di mana batas mereka mesti berdiri.
PAS tidak dimiliki oleh sesiapa kerana ia jamaah yang menjulang kalimah Allah. Ia jamaah membina tarbiyah agar boleh berlangsung dakwah. Ia memilih beraksi di medan siasah. Ia jamaah yang berkebajikan kerana Islam mengajar kasih sayang menyelamatkan insan.
PAS bukan bahtera untuk seseorang atau kelompok mengarahkannya mengikut cita-cita peribadi atau kelompok sendiri. Seteguh mana mereka yang membina kelompok mengepung parti dan kepimpinannya tetap gugur tersungkur.
Pengalaman ‘jebon’ sewajarnya dijadikan ibrah pemimpin yang ada malah generasi muda dan pelapis yang mempunyai hasrat yang sama. Mengubah haluan bahhtera atau menebuknya untuk jalan pintas menikmati kepuasan sementara pasti akan binasa dan tercampak dengan hina.
PAS ada penjaganya. Mereka mungkin bukan pimpinan kerana pimpinan silih berganti diuji. Penjaga PAS adalah kalangan yang mungkin tak dikenali. Penjaga PAS adalah ahli yang ikhlas sayangkan perjuangan ini.
Tuan Guru Presiden memuji golongan ini dengan linangan air mata ketika menyambut 70 tahun PAS di persada perjuangan. Hadis Rasul yang menjadi panduan perjuangan diulang Tuan Guru Haji Hadi agar kita insafi.
Ramai mereka yang tak dikenali adalah penjaga perjuangan ini. Mereka muncul di saat diperlukan. Di saat bahtera dioleng ombak, mereka pantas beraksi. Bila tenang lautan mereka kembali ke posisi di sudut yang tak disedari. Memenuhi usrah dan tamrin tanpa dikenali.
Penjaga perjuangan ini mungkin petani dan nelayan yang tak miliki sijil apatah lagi PhD. Mereka tidak pantas berbicara namun bingkas bekerja apabila seruan jihad dipalu.
Mereka ‘golongan bodoh’ yang sanggup korbankan segalanya tanpa soal bicara. Mereka tidak mengadu di media apabila resah tetapi bermunajat kepada Allah. Keyakinan mereka, Islam mesti menang.
Masihkah ada yang berani dan bercita-cita menongkah arus bahtera Islam ini? Andai kamu licik beraksi, sang tupai lebih pintar melompat ke sana sini. Tiba masanya, tupai mencium tanah juga.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 17/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!