Susun usaha pastikan pengundi luar pulang pada PRU15

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pengundi luar yakni dalam kalangan anak Perak yang berada di perantauan walaupun jumlahnya kecil tetapi tetap memiliki tanggungjawab untuk mencorakkan politik negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN Melaka dan Johor baru-baru ini harus menjadi pengajaran terhadap setiap segmen pengundi.

- Advertisement -

Sehubungan itu seru beliau, setiap pengundi di perantauan perlu disedarkan terhadap tuntutan penting itu ke atas mereka untuk pulang mengundi apabila sampai masanya PRU15 diadakan kelak.

“Pengundi luar mestilah pulang melaksanakan kewajipan mengundi jika inginkan perubahan yang lebih baik untuk masa depan mereka. Kesedaran ini penting jika ingin kuasa politik dipimpin oleh mereka yang amanah dan berintegriti.

“Walaupun mengundi hanya sekejap namun kesannya berlangsung selama lima tahun. Ada yang berfikir tidak berbaloi untuk pulang mengundi dari jauh. (Tetapi) Sikap mengambil ringan untuk mengundi akan membahayakan masa depan,” ujar beliau.

Perkara itu dinyatakan beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak ketika merasmikan Bengkel Pengundi Luar PAS Perak yang di adakan di Lake Town Resort Bukit Merah, di sini kelmarin. 

Katanya, Jentera Pengundi Luar mesti berperanan memberi kesedaran kepada pengundi anak perantauan dan mengadakan usahakan sedaya mungkin agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Program untuk Jentera Pilihan Raya ini turut diisi wakil daripada Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu Dr Wan Nik Wan Yusuf dan Dr Ishak Ibrahim melakukan pembentangan taklimat operasi dan strategik.

Dalam pada itu Razman yang mesra dipanggil Pak Teh turut menegaskan bahawa PAS Perak berpendirian pentingnya politik Melayu-Islam mendukung agenda penyatuan ummah.

Jelasnya, penyatuan tersebut juga boleh diadakan dengan semua parti politik, tertakluk kepada keputusan PAS Pusat, namun tidak sama sekali dengan DAP yang jelas nyata bersikap ekstrem. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -