PAS tidak korban logo, tetap tegas tolak DAP

Komited agenda penyatuan ummah, tetapi menentang kleptokrat dan ekstrem

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Tidak berbangkit isu PAS mengorbankan logo parti itu dalam PRN Johor kerana penyertaannya adalah sebagai Perikatan Nasional (PN) dalam gabungan bersama BERSATU dan GERAKAN.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria malah menegaskan, keutamaan PAS bukanlah memperjuangkan logo, sebaliknya dasar dan prinsip parti itu untuk kepentingan agama, negara dan rakyat.

- Advertisement -

Bahkan jelas beliau, penggunaan logo PN bersama parti rakan gabungan adalah kesepakatan sama seperti yang diaplikasikan parti-parti dalam koalisi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau ditemui media selepas sumbangan ‘Back to School’ kepada 180 murid terpilih dalam DUN Gunung Semanggol di Dewan Orang Ramai Semanggol, di sini semalam.

Diminta menyentuh mengenai tindakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memohon pemberhentian daripada PAS, Razman menegaskan bahawa PAS bukan perjuangan individu.

Beliau turut mengulangi pendirian PAS sebagaimana dinyatakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa parti ini berprinsip dan menghasratkan penyatuan ummah serta rakyat majmuk negara ini.

“Tetapi kita menolak kleptokrat dan pihak yang melampau atau ekstrem. (Baik dalam kalangan) Parti-parti politik, NGO, NGI atau individu. Bagi PAS, kita terang-terang tidak mahu DAP sebab dia dalam tempoh ini terlampau ekstrem.

“Walaupun dia nampak multi-racial, tapi dia ekstrem. Sebab itu kita boleh duduk dengan GERAKAN dan MCA (yang tidak ekstrem),” ujarnya sambil menjelaskan hal tersebut tertakluk kepada keputusan PAS Pusat.

“Kita tengok logo dacing (BN), itu bukan parti. Tapi dacing itu (logo) kumpulan dipanggil BN. Dalam BN itu ada Umno, MCA dan MIC ada logo masing-masing.

“Begitu juga PH, bukan parti, tapi gabungan beberapa parti. Masing-masing parti itu mengekalkan logo dia. PAN ada logo dia, DAP dengan roket dia, PKR dengan mata dia.

“Macam itulah PN, digunakan oleh gabung tiga parti. PAS logonya bulan, BERSATU dengan bunga raya dan GERAKAN. Tetapi kita bertanding pilihan raya guna logo kesepakatan gabungan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022