Oleh MUHAMMAD ARIS ISMAIL
KOTA BHARU: Lebih 440 pengiat Muay Thai seluruh negara akan berhimpun di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) selama empat hari bermula esok bagi mencari jaguh sukan terbabit.
Ia sempena penganjuran Kejohanan Muay Thai Elit Senior dan Junior Kebangsaan 2022 oleh Sekretariat Persatuan Muay Thai Malaysia.
Ketua Sekretariat Zaharbi Sa’ari berkata, usaha berkenaan selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Atlit Muay Thai di Kelantan.
“Sebanyak 19 kategori akan dipertandingkan bermula 17 sehingga 20 Mac menyaksikan lebih 400 pengiat seni bela diri tersebut menyertainya.
“Kita mahu mewujudkan satu gerak kerja tersusun selaras dengan pelan strategik untuk melahirkan lebih ramai atlit Muay Thai,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.
Zaharbi juga berkata perasmian kejohanan itu dijangka disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada Jumaat ini bermula jam 2.30 petang.
Menurutnya juga Persatuan Muay Thai Malaysia merupakan badan induk sukan terbabit di peringkat nasional yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan.
Persatuan itu merupakan ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), juga terlibat di peringkat global.
“Selain gabungan dalam Majlis Olimpik, kita juga bernaung di bawah International Federation of Muaythai Associations (IFMA).
“Malah kita juga mendapat sokongan penuh kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022