Tragedi MH17: Australia, Belanda mulakan tindakan undang-undang terhadap Rusia

Bangkai pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014. (FOTO fail Reuters)
- Advertisement -

ARMSTERDAM: Australia dan Belanda telah memulakan tindakan undang-undang bersama terhadap Rusia di agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh lapan tahun lalu, biarpun Rusia sering menafikan terbabit dalam tragedi itu.

Pesawat Boeing 777 itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, apabila ia ditembak  di timur Ukraine yang dikuasai pemberontak oleh apa yang dikatakan oleh penyiasat dan pendakwa antarabangsa adalah peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia, yang membunuh kesemua 298 yang berada di dalam kapal terbang malang tersebut termasuk 43 warga Malaysia.

- Advertisement -

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam kenyataannya  pada Isnin (14 Mac)  berkata,  Rusia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa dan membawa perkara itu kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa PBB akan menjadi satu langkah ke hadapan dalam perjuangan untuk mangsa, termasuk 38 warga Australia.

Sementara  kerajaan Belanda berkata, Majlis Keselamatan PBB juga telah dimaklumkan mengenai langkah itu.

Menurut Menteri Luar Belanda, Wopke Hoekstra, kematian 298 orang awam, termasuk 196 warga  Belanda, tidak boleh dan tidak boleh kekal tanpa sebarang sebab di sebalik tragedi berkenaan,

Prosedur yang jarang berlaku adalah di bawah artikel Konvensyen Chicago ICAO yang dirangka untuk melindungi pesawat awam daripada tembakan senjata. 

Ia ditambahbaik pada tahun 1984 berikutan penembakan jatuh pesawat Korea Selatan oleh pejuang Soviet pada tahun sebelumnya.

Selepas lapan tahun berlalu, tragedi yang menimpa pesawat malang, MH17 belum mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Dalam pada itu kerajaan Australia berkata, ia sedang mencari pampasan penuh daripada Rusia untuk kecederaan yang disebabkan, dan penggantungan kuasa mengundi Rusia dalam ICAO, yang menetapkan piawaian untuk perjalanan udara awam.

Kedua-dua kerajaan Australia dan Belanda menegaskan  akan bergantung kepada bukti bahawa MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu darat ke udara Rusia yang diangkut dari Rusia di bawah kawalan kumpulan  pemisah yang disokong Rusia. 

Terdahulu sudah kerap  menafikan penglibatan dalam tragedi MH17 dan telah menampilkan pelbagai teori alternatif, yang telah ditolak oleh penyiasat antarabangsa atas alasan tidak disokong oleh bukti.

Walaupun keputusan di ICAO masih belum pasti, pakar berkata langkah itu mungkin dilihat sebagai cara selanjutnya untuk memaksa Rusia berunding mengenai insiden itu, walaupun Moscow  berterusan menafikan sebarang penglibatan.

Dalam kes-kes lepas, perbincangan rasmi ICAO juga dilihat sebagai satu langkah ke arah memfailkan saman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague, seperti yang dilakukan Iran terhadap Amerika Syarikat pada 1989 berhubung pesawat IranAir 655 yang ditembak jatuh  pada 1988.

Menteri Luar Australia, Marise Payne berkata pada Isnin (14 Mac) berkata bahawa Australia dan Belanda telah meneruskan rundingan dengan Rusia dengan cara baik tetapi Rusia telah menarik diri secara unilateral pada 2020.

Belanda pada tahun lalumengeluarkan kenyataan bahawa  ia mahu mengembalikan Rusia ke meja rundingan tanpa tidak mengecualikan tindakan undang-undang.

Sehingga kini, tiada  sebarang komen daripada kementerian luar Rusia diperolehi sebagai reaksi kepada tindakan undang-undang terbaharu Belanda dan Australia berhubung isu MH17 itu. – Reuters

- Advertisement -