MAFI ambil tindakan tangani kesan konflik Rusia-Ukraine

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengakui bahawa konflik Rusia-Ukraine akan memberikan kesan kepada rantaian bekalan makanan global, termasuk Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee, berkata konflik ini akan memberi kesan langsung, terutama kepada import pertanian melibatkan keperluan input pertanian seperti baja dan bahan makanan seperti gandum dan sediaan bijirin, serta lemak sayuran dan haiwan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya MAFI mengambil beberapa langkah proaktif untuk menangani impak konflik Rusia-Ukraine bagi memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi.

“Antara tindakan berkenaan ialah meningkatkan pengeluaran tanaman melalui kaedah penanaman secara moden atau IR4.0 seperti pertanian tepat, penggunaan dron dan kilang tanaman.

“MAFI juga menggalakkan penggunaan baja alternatif atau organik bagi mengurangkan kebergantungan kepada baja sintetik,” katanya menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Alias meminta langkah proaktif MAFI bagi memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi berikutan konflik antara Rusia dan Ukraine yang masih berterusan.

Dr Ronald berkata, MAFI menggalakkan penggunaan bahan makanan ternakan tempatan seperti penggunaan isirong kelapa sawit, selain jagung dan hampas soya serta menggalakkan petani menggunakan kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu bagi mengurangkan penggunaan racun kimia.

Menurutnya, kerajaan juga mengenal pasti beberapa negara sumber alternatif baharu bagi menampung kekurangan bekalan import bahan mentah dan input pertanian.

“Akses fasiliti pembiayaan yang mencukupi juga disediakan melalui Agrobank kepada semua pengusaha yang terjejas akibat kos pengeluaran yang meningkat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata MAFI bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengoptimumkan platform strategik sedia ada untuk menangani isu kenaikan harga makanan akibat konflik Rusia-Ukraine.

Katanya, MAFI yakin inisiatif ini akan memastikan kelangsungan bekalan bahan mentah dan input pertanian selain menjamin ketersediaan dan kebolehcapaian makanan yang bertepatan dengan kuasa beli rakyat. – HARAKAHDAILY 15/3/2022

- Advertisement -