Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemeriksaan terperinci ke atas kawasan cerun berisiko tinggi berikutan peristiwa tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan pada 25 Januari lalu.
Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata pihaknya sekali lagi menggesa kerajaan negeri membuat pemeriksaan terperinci ke atas semua kawasan berisiko tinggi berikutan kes tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac lalu yang mengorbankan empat nyawa.
Menurutnya, tindakan itu perlu diambil untuk memastikan kejadian tanah runtuh tidak berulang kembali.
“Kami juga menggesa agar kerajaan negeri menambah kawasan-kawasan berisiko tinggi di dalam senarai mereka kerana kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 itu tiada dalam senarai.
“Terdapat lebih 150 cerun berisiko tinggi tanah runtuh di Selangor terutamanya Ampang, Gombak dan Hulu Langat.
“Kejadiaan tanah runtuh terkini ini menunjukkan kawasan yang tiada dalam senarai berisiko tinggi turut boleh mengalami tanah runtuh dan telah terbukti telah meragut nyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Oleh demikian, beliau berkata, kerajaan Selangor perlu melakukan kajian ke atas semua cerun bagi mengklasifikasikannya semula.
“Semua cerun yang berisiko tinggi perlu dipantau dari semasa ke semasa untuk memastikan tidak berlaku sebarang pergerakan tanah yang boleh mengakibatkan tanah runtuh.
“Kerja-kerja penyelenggaraan perlu juga dilakukan untuk mengelakkan sebarang bencana dari berlaku,” ujar beliau.
Justeru, beliau berkata, pihak berkuasa negeri (PBN) dan PBT perlu lebih berhati-hati di dalam meluluskan pembangunan yang melibatkan cerun memandangkan pengalaman dengan kes-kes tanah runtuh yang meragut nyawa.
“Sebarang syarat-syarat bagi pembangunan yang diluluskan perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan tanpa pilih kasih,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/3/2022