KASA buat persediaan rapi hadapi fasa Peralihan Monsun

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca ketika Peralihan Monsun mulai semalam yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei ini, berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur tidak kukuh.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata fenomena arus deras, kejadian kepala air dan limpahan air sungai yang berpotensi terjadi jika hujan lebat berlaku agak lama ketika fasa Peralihan Monsun juga patut diberi tumpuan.

- Advertisement -

Selain itu, katanya situasi begini boleh menyebabkan kejadian banjir kilat, banjir lumpur dan tanah runtuh.

Menurutnya, MET Malaysia telah mengeluarkan kenyataan media pada 11 Mac lalu untuk memaklumkan mengenai Peralihan Monsun yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut dan beralih ke Barat Daya yang bermula sejak 3 November tahun lalu.

“Ketika Peralihan Monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat, iaitu antara satu hingga tiga jam.

“Kebiasaannya kejadian ini berlaku, terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah meminta kerajaan menyatakan persediaan bagi menghadapi fasa peralihan monsun yang berpotensi menyebabkan banjir kilat.

Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan ramalan dan amaran banjir kepada orang ramai melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Katanya, maklumat PRAB dapat membantu pasukan penyelamat untuk merancang dan menyelaras aktiviti berkaitan.

“Maklumat amaran banjir, status aras air sungai dan taburan hujan di seluruh Malaysia boleh diperoleh dari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my serta aplikasi mobile apps MyPublicinfoBanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, MET Malaysia menggunakan pelbagai platform untuk menyebarkan maklumat dan amaran cuaca secara terus kepada semua pemegang taruh melalui faksimili, telefon, stesen TV Malaysia (RTM), Mesej Pesanan Ringkas (SMS), laman sesawang MET Malaysia, aplikasi mobil myCuaca, media cetak dan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Katanya, maklumat PRAB dan MET Malaysia turut disalurkan kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk hebahan kepada orang awam.

Sementara itu, katanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewujudkan satu Jawatankuasa Pasukan Petugas Bagi Mengatasi Masalah Banjir Kilat yang diketuai oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan dianggotai oleh pelbagai agensi seperti JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi mencari penyelesaian antara agensi untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan PBT. Jawatankuasa ini mengambil kira masalah punca banjir kilat seperti sistem perparitan uzur,rosak dan tidak sistematik,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2022

- Advertisement -