Undi diraih PAS lebih tinggi bersama PN

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Langkah PAS bertanding melalui Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lepas dianggap lebih cemerlang kerana mendapat undi lebih tinggi berbanding secara solo.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) pernah menang di empat Dun di Johor.

- Advertisement -

Dan ketika bertanding solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 PAS hanya menang satu kerusi Dun.

“Walaupun menang satu daripada 15 kerusi (Dun) yang ditandingi Sabtu lepas, namun jumlah undi meningkat berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman semalam.

PAS mencatat sejarah apabila calonnya Abdul Aziz Talib yang bertanding atas logo PN menang di Dun Maharani dengan majoriti 1,037 undi mengatasi calon PH, BN, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia dan Bebas.

Bagaimanapun kerusi yang dimenangi pada PRU lepas di Bukit Pasir, calon PAS (PN) hanya tewas 198 undi. Sekiranya bekas Adun PAS Najib Lep tidak bertanding, kerusi itu dijangka mampu dipertahankan PAS.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, jumlah undi PAS meningkat melalui PN pada PRN Johor.

“Satu permulaan yang baik dan saya berpuas hati dengan perkembangan tersebut. Kita tunggu keputusan post-mortem untuk melihat lebih terperinci,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/3/2022